GEORGE TOWN, 25 Feb (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Brunei dan Timor-Leste bagi membincangkan usaha bersama dalam mendepani cabaran keselamatan serantau.
Pertemuan Mohamed Khaled dengan Menteri Pertahanan ll Brunei Pehin Datu Lailaraja Mej Jen (B) Datuk Paduka Seri Awang Halbi Mohd Yussof dan Menteri Pertahanan Timor-Leste Donaciano Rosario Costa Gomes itu diadakan bersempena dengan sesi Permukiman Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di sini.
Pertemuan dua hala yang diadakan secara berasingan itu masing-masing berlangsung selama 20 minit.
Selain itu, Mohamed Khaled juga mengadakan pertemuan dengan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN Datuk Astanah Abdul Aziz.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah usaha terkini dalam mengukuhkan lagi kerjasama serantau termasuk penglibatan secara bersama dalam misi pengaman, seperti Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT).
“Semua pihak bersetuju bahawa platform seperti ADMM membantu mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama pertahanan dalam kalangan negara anggota,” menurut kenyataan itu.
Permukiman ADMM hari ini dimulakan dengan Mesyuarat Kumpulan Kerja Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan ASEAN (ADSOM WG).
Lebih 150 delegasi, termasuk wakil daripada Sekretariat ASEAN kini menghadiri permukiman yang menghimpunkan menteri pertahanan dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN dan negara pemerhati Timor-Leste.
Permukiman ADMM diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini. Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial