AM

RUU MMM 2024: Pencapaian Bersejarah Untuk Kebebasan Media, Etika - MPI

27/02/2025 12:12 AM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 yang diluluskan hari ini merupakan satu pencapaian penting dalam landskap media Malaysia, selepas lebih 50 tahun perbincangan dan rundingan yang mendalam untuk mewujudkan sebuah majlis khusus bagi hal ehwal media.

Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong menghargai usaha kerajaan terutama Kementerian Komunikasi yang melibatkan profesional media, khususnya jawatankuasa protem, dalam mengimbangi pelbagai kepentingan media untuk menubuhkan majlis itu.

Beliau berkata walaupun cadangan untuk menubuhkan badan seumpama itu bermula pada 1973, ia mendapat momentum yang penting dengan perbincangan yang lebih mendalam bermula pada awal 2023.

“RUU MMM yang jelas mengenai pelbagai fungsinya seperti menetapkan piawaian, mewujudkan kod etika untuk pengamal media dan mempromosikan piawaian tertinggi dalam kewartawanan beretika, kebebasan media, serta hak-hak profesional media sememangnya merupakan satu pencapaian penting.

“Peruntukan dalam RUU itu yang memperkasakan Majlis Media Malaysia (MMM) untuk mengawal etika dan tingkah laku profesional pengamal media menandakan satu langkah penting ke arah pengawalan kendiri dalam industri media," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yong berkata galakan komunikasi antara pengamal media, kerajaan dan orang awam ialah perkembangan yang amat dialu-alukan.

“Selain itu, keupayaan MMM untuk mencadangkan pembaharuan berkaitan undang-undang kebebasan media, di samping menyelaras dan memudahkan peranannya dalam latihan dan pembangunan profesional wartawan, pastinya akan memberikan manfaat yang besar kepada industri media tempatan," katanya.

Industri media Malaysia mencipta sejarah apabila Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024, antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil.

Penubuhan MMM akan mewujudkan platform kepada pengamal media, industri dan kerajaan untuk bekerjasama, membincangkan cabaran dan membangunkan penyelesaian strategik sambil merangka kursus bagi landskap kewartawanan Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan