NEW YORK, 1 MAC (Bernama-WAFA) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menegaskan bahawa gencatan senjata yang rapuh di Gaza mesti dikekalkan, sambil menggesa semua pihak menghormati komitmen masing-masing bagi mengelakkan perjanjian itu terbatal, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Bercakap kepada wartawan di Ibu Pejabat PBB di New York, beliau mengumumkan bahawa beliau akan ke Kaherah, Mesir minggu depan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Liga Arab.
Sidang kemuncak itu akan membincangkan usaha membangunkan semula Gaza yang menjadi pusat operasi ketenteraan Israel sejak beberapa bulan lalu.
Guterres berkata sidang kemuncak pada Selasa itu memberi peluang kepada pemimpin dunia Arab untuk bersatu dan membincangkan langkah yang perlu diambil bagi memastikan keamanan serta kestabilan di wilayah berkenaan.
“Pendekatan yang bersatu akan membantu menentukan hala tuju ke hadapan,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan membentuk rangka kerja politik jangka panjang untuk pemulihan, pembinaan semula serta kestabilan Gaza yang berkekalan.
“Rangka kerja ini mesti berlandaskan prinsip yang jelas,” tegasnya.
Menurutnya, sebarang bentuk pembersihan etnik harus dielakkan, tiada kehadiran tentera Israel secara berterusan di Gaza, dan wilayah itu perlu kekal sebagai sebahagian daripada sebuah negara Palestin yang merdeka, demokratik serta berdaulat tanpa sebarang pengurangan wilayah atau pemindahan paksa penduduknya.
Beliau menegaskan bahawa sebarang pelan peralihan mesti mempunyai tempoh masa yang jelas dan terhad, ke arah pentadbiran Palestin yang bersatu.
Selain itu, Guterres turut meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan keganasan di Tebing Barat yang menyaksikan operasi ketenteraan Israel serta serangan pendatang haram hingga menyebabkan kematian, kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan.
“Tindakan unilateral, termasuk peluasan penempatan haram mesti dihentikan,” katanya sambil menyeru agar serangan terhadap orang awam serta harta benda dihentikan segera.
Beliau menegaskan bahawa satu-satunya jalan ke arah keamanan berkekalan adalah menerusi penyelesaian dua negara, dengan Israel dan Palestin hidup dalam keadaan aman dan damai selaras dengan undang-undang antarabangsa serta resolusi PBB, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara bagi kedua-dua negara itu.
“Rakyat Palestin berhak untuk mentadbir sendiri, menentukan masa depan, serta hidup di tanah air mereka dalam keadaan bebas dan selamat,” katanya.
Pada sidang kemuncak di Kaherah minggu depan, Guterres berkata beliau akan menyeru agar usaha pembinaan semula yang mampan dilakukan serta satu penyelesaian politik yang “bersatu, jelas dan berprinsip” dibentuk.
-- BERNAMA-WAFA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial