KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Pengumuman kadar dividen tinggi oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun kewangan 2024 adalah indikator bahawa institusi itu berjaya menunaikan fungsinya dengan baik dan efektif sebagai ‘nadi’ simpanan usia tua atau selepas bersara negara.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata kadar pulangan dividen tertinggi diberikan sejak 2017 itu juga menunjukkan ia mampu menjana pulangan lebih baik berbanding platform simpanan lain, termasuk bank.
“Sebagai badan mewakili pekerja dan dianggotai lebih 100 kesatuan sekerja, UNIMLC melihat peningkatan kadar dividen ini akan meningkatkan keyakinan pencarum terhadap KWSP sebagai badan pengurus simpanan para pekerja di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, KWSP mengumumkan kadar dividen 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion dan 6.30 peratus bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan RM10.19 bilion.
Mohamed Shafie berkata UNI-MLC juga yakin berita baik ini juga akan menggalakkan caruman atau simpanan secara sukarela.
“UNI-MLC yakin dan percaya, KWSP akan terus mempertingkatkan daya pelaburannya untuk menjana pulangan lebih baik demi manfaat dan kepentingan para pencarum,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial