AM

Tiada Pihak Arah SPRM Siasat Ismail Sabri - Azam Baki

03/03/2025 02:56 PM

PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menegaskan tidak ada mana-mana pihak mengarahkan siasatan dilakukan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata siasatan terhadap perdana menteri kesembilan itu dilaksanakan susulan aduan dan maklumat yang diterima SPRM.

“Kami menyiasat secara profesional dan adil, tanpa melihat sebarang darjat atau kedudukan.

“Tiada arahan daripada sesiapa. Kami bertindak sendiri, berdasarkan kepada maklumat dan aduan yang kami terima,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia.

Beliau disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Azam berkata pihaknya akan secara teliti menyiasat kes tersebut serta sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dan mendapat manfaat.

“Berhubung perkara ini, bukan sahaja setakat projek berkenaan (Keluarga Malaysia) tetapi juga sesiapa sahaja yang mendapat manfaat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menafikan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Ismail Sabri, Datuk Nazimah Hashim yang juga orang berkepentingan dalam kes tersebut, berada di luar negara.

Azam berkata Nazimah berada di dalam negara dan percakapannya telah dirakam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan