KKR LULUS RM47.45 JUTA BAIK PULIH JALAN PERSEKUTUAN DI KOTA MARUDU, KOTA BELUD, KUDAT
KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya telah meluluskan 16 arahan kerja bernilai RM47.45 juta, bagi membaik pulih Jalan Persekutuan di Kota Marudu, Kota Belud dan Kudat yang mengalami kerosakan teruk.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kelulusan itu diberikan selepas kementerian mengambil kira senarai keutamaan dan meneliti anggaran kerosakan yang dikenal pasti, dengan kos keseluruhan bagi kawasan kritikal yang terjejas mencecah RM71.2 juta.
“Kerja-kerja penyelenggaraan jalan ini akan dilaksanakan melalui localised heavy patching dan pengukuhan semula road base menggunakan geo-grid dan glass grid, untuk memperbaiki struktur jalan yang telah rosak. Kerja-kerja ditapak telah dimulakan oleh syarikat konsesi sejak awal Februari 2025,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) mengenai tindakan kementerian untuk memperbaiki jalan Persekutuan yang tidak selamat akibat kerosakan dan berlubang, khususnya di Kota Marudu dan seluruh negeri Sabah.
Selain itu, Ahmad memaklumkan permohonan anggaran keseluruhan penyelenggaraan turapan berkala bagi jalan Persekutuan di negeri Sabah untuk tahun 2025 adalah sebanyak RM421.994 juta, dengan kelulusan sebanyak RM117 juta telah diberikan setakat Februari 2025.
-- BERNAMA
PPR GUA MUSANG BERI MANFAAT KEPADA 927 KELUARGA, 73 UNIT SEDANG DIBAIK PULIH
KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang di Kelantan telah memberi manfaat kepada 927 keluarga melalui kaedah sewa beli, manakala 73 unit lagi kini sedang dalam proses pembaikan oleh Jabatan Perumahan Negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata sehingga kini, masih belum ada sebarang cadangan diterima daripada kerajaan negeri Kelantan untuk menambah bilangan unit rumah di tapak sedia ada.
“Namun, tapak PPR Gua Musang berkeluasan 13 ekar tersebut telah dibangunkan secara optimum dengan 1,000 unit rumah, bangunan sampingan dan bangunan guna sama. KPKT sentiasa terbuka untuk menerima sebarang cadangan permohonan pelaksanaan PPR baharu daripada kerajaan negeri mahupun swasta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim, yang ingin tahu sama ada kementerian bercadang untuk menambah bilangan unit rumah baharu di tapak sedia ada di PPR Gua Musang bagi menjimatkan kos kewangan dan memastikan permintaan terhadap rumah PPR dapat direalisasikan.
Aiman Athirah berkata sehingga 31 Dis 2024, kerajaan telah meluluskan lapan projek PPR atau Program Residensi Rakyat (PRR) di Kelantan melibatkan 3,574 unit rumah, dengan enam projek telah siap dibina (3,268 unit), satu projek dalam pembinaan (150 unit) dan satu lagi projek masih di peringkat perancangan (156 unit).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial