PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran memaparkan nombor kecemasan di kawasan bazar Ramadan bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku sebarang insiden.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tindakan awal membuat panggilan kecemasan itu penting dalam menyelamatkan nyawa.
"Walaupun unit kecemasan tetap belum boleh diwujudkan di 1,292 tapak bazar di seluruh negara, paparan nombor kecemasan itu amat penting dalam menangani sebarang isu kecemasan," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke bazar Ramadan Presint 3 di sini hari ini.
Dzulkefly berkata demikian sebagai mengulas kejadian seorang lelaki warga emas rebah dan meninggal dunia pada hari pertama Ramadan di bazar Taman Seri Harapan, Baling, Kedah semalam.
Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Selain itu, Dzulkefly menasihati masyarakat yang mengunjungi bazar Ramadan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga susulan cuaca panas khususnya bagi warga emas dan kanak-kanak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial