KOTA TINGGI, 4 Mac (Bernama) -- Mesyuarat Permukiman Jawatankuasa Pegawai Kanan bagi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (SOCA) sedang berlangsung di Desaru hari ini, dengan tumpuan kepada pengesahan Strategi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) yang dijadualkan untuk diterima pakai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei 2025.
Mesyuarat yang dipengerusikan Setiausaha Agung Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Abdul Rahman itu diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun ini.
Kesemua 10 negara anggota ASEAN akan hadir pada permukiman ini kecuali Vietnam, yang akan menghadiri secara maya.
Selain itu, permukiman itu juga akan mengkaji semula Kajian Akhir Pelan Tindakan ASCC 2025 dan membincangkan keutamaan, hasil dan aktiviti Kepengerusian ASEAN-Malaysia bagi ASCC.
Bersama dengan teras Komuniti Keselamatan Politik ASEAN (ASPC) dan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), ASCC memainkan peranan penting dalam merangka hala tuju ASCC untuk 20 tahun akan datang dengan arah yang berani, inklusif dan berfokuskan masa depan yang terkandung dalam Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045.
Malaysia secara rasmi memegang peranan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bermula 1 Jan lepas, menandakan kepegerusian buat kali kelima sejak penubuhan ASEAN pada 1967.
Lebih daripada 300 mesyuarat dan program besar dijadualkan berlangsung di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Malaysia sebelum ini memegang Kepengerusian ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial