KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyenaraikan dua projek melibatkan kos RM51.5 juta di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai langkah mengurangkan banjir di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek berkenaan adalah pemuliharaan Muara Sungai Kemena, Bahagian Bintulu dan Muara Sungai Trusan di Bahagian Limbang.
“Skop utama projek adalah mendalamkan sungai bagi meningkatkan kapasiti sungai untuk menampung aliran air yang tinggi terutamanya ketika musim hujan.
“PETRA melalui JPS juga akan mengemukakan permohonan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Miri, Bahagian Miri bagi pelaksanaan kerja pengerukan muara sungai dengan anggaran kos RM16.6 juta di bawah RP2 RMK13,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Abun Sui Anyit yang ingin mengetahui langkah dan perancangan tebatan banjir untuk mengurangkan keadaan banjir buruk yang semakin menjadi-jadi sehingga menenggelamkan banyak rumah seperti di Sungai Trusan, Sungai Kemena dan Sungai Miri di Sarawak, yang muaranya semakin cetek.
Fadillah berkata PETRA melalui JPS juga sedang melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Miri, Lembangan Sungai Miri dengan kos RM31 juta.
“Pelaksanaan projek ini melibatkan kawasan Lutong, Krokop dan Jalan Jee Foh. Setelah siap kelak, projek ini dijangka memberikan perlindungan kepada lebih 5,000 penduduk daripada risiko banjir dan mengurangkan keluasan banjir (sehingga) 600 hektar.
“Kerja-kerja fizikal telah bermula pada Oktober 2023 dan kemajuan terkini di tapak adalah 28.16 peratus dan projek ini dijangka siap pada Januari 2026,” katanya.
Sebagai penyelesaian jangka pendek, beliau berkata JPS melaksanakan kerja-kerja kecil di bawah Projek Pemuliharaan Sungai untuk mengurangkan risiko banjir.
“Peruntukan RM37.8 juta disalurkan untuk Sarawak pada 2022 hingga 2024 bagi melaksanakan 360 sebut harga dengan skop utama seperti kerja-kerja penyaluran sungai, menstabilkan tebing sungai dan menaik taraf saluran serta struktur berkaitan bagi meningkatkan kualiti air sungai.
“Senarai projek pada tahun ini pula sedang dimuktamadkan dan jumlah peruntukan adalah RM13.1 juta,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial