AM

Orang Ramai Dijangka Boleh Guna TBG Hujung Mac Untuk Balik Kampung Sempena Aidilfitri

04/03/2025 04:29 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Orang ramai dijangka boleh menjadikan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) sebagai pintu masuk untuk mengambil bas ekspres balik ke kampung sempena Aidilfitri ini. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sekiranya TBG boleh beroperasi sepenuhnya hujung bulan ini, maka kesesakan di Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan (TBS) dapat dikurangkan pada musim perayaan nanti.

Loke berkata TBG akan melalui tempoh percubaan pengoperasian pada 15 Mac ini dengan perkhidmatan menurunkan penumpang dari Pantai Timur sebelum memulakan perkhidmatan mengambil penumpang untuk ke laluan sama seminggu kemudian.

“Kementerian bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat pemeriksaan akhir pada minggu depan dan kita jangkakan operasi terminal tersebut (bermula) pada 15 Mac ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau kesiapsiagaan operasi TBG dan ketersambungan infrastruktur terminal itu dengan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Gombak dan Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL) Gombak di sini hari ini.

Loke berkata buat masa ini, TBG tidak membuka kaunter jualan tiket untuk ke Pantai Timur namun pengguna masih boleh mendapatkannya di TBS. 

Beliau berkata TBG mempunyai tiga mod pengangkutan iaitu bas, LRT dan ECRL Gombak yang menyambungkan antara satu sama lain.

“Selain bas ekspress, ia juga menghubungkan bas antara bandar selain diintegrasikan dengan stesen LRT Gombak dan terdapat stesen ECRL Gombak yang sedang rancak dibina,” katanya sambil menambah pembinaan rel itu kini mencapai 79 peratus.

Mengenai lawatannya hari ini, Loke berkata kemudahan infrastruktur yang disediakan mulai siap antaranya kedai runcit, premis makanan dan minuman serta dewan serba guna. 

“Saya difahamkan dewan serba guna boleh disewa orang ramai sekiranya ingin mengadakan majlis perkahwinan, parkirnya juga luas. Beberapa platform khas untuk OKU turut disediakan bagi memudahkan pergerakan mereka turun dan naik bas.

“Apabila mereka membeli tiket ada satu ciri yang mereka boleh pilih. Kalau mereka OKU, kena nyatakan bahawa penumpang adalah OKU jadi sistem boleh kesan, maka bas itu akan ditempatkan di platform yang mesra OKU,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan