BAGAN DATUK, 5 Mac (Bernama) -- Sebuah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) akan ditubuh bagi mendepani isu-isu nelayan negara ini, supaya kebajikan golongan tersebut terus terjamin, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata jawatankuasa itu yang bakal dipengerusikannya, akan dikoordinasi bersama lima kementerian melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Ekonomi.
Beliau berkata cadangan penubuhan HLC itu akan dibawa ke Kabinet pada Jumaat ini.
“...ini bagi mencari jalan menyelesaikan beberapa permasalahan disebutkan dalam sesi libat urus (SLU) bersama komuniti nelayan yang berjalan di lima zon.
“Sudah tentu isu-isu ini berlainan antara satu sama lain tetapi kebanyakan isu ini ada persamaan,” katanya pada sidang media selepas SLU bersama komuniti nelayan zon Pantai Barat, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.
Ahmad Zahid berkata bayaran elaun sara hidup nelayan perlu ditambah baik termasuk pemberian insentif berdasarkan jumlah hasil tangkapan.
“Kita tidak akan berhentikan bantuan RM300 itu, malah kita akan cari jalan supaya ia ditambah, lebih banyak mereka dapat tangkap (ikan), lebih banyak insentif mereka akan dapat, ini supaya nelayan akan berusaha lebih keras dan mengelak ketirisan,” katanya.
Menyentuh mengenai subsidi diesel kepada nelayan, beliau berkata satu penyelarasan kepada usaha-usaha penyasaran subsidi itu perlu dilakukan, supaya ia tidak lari daripada tanggungjawab kerajaan untuk membantu nelayan.
“... sebaliknya satu skema khusus perlu untuk menggantikan penyasaran ini kepada bentuk bantuan bagi kebajikan nelayan dan juga bantuan untuk komuniti nelayan keseluruhannya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata revolusi teknologi penangkapan hidupan laut mesti dipercepatkan bagi nelayan mengadaptasi teknologi moden seperti sonar pintar, GPS bersepadu, dron pemantau laut, serta sistem pertanian pintar yang dapat meningkatkan hasil dengan lebih cekap.
“Untuk itu mungkin Agrobank dapat memperkenalkan skim sewa beli peralatan teknologi bagi memastikan akses kepada inovasi tanpa membebankan golongan ini dengan kos tinggi,” katanya.
Lebih 500 nelayan dari Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan hadir pada SLU kali kelima dan juga yang terakhir diadakan, bertujuan sebagai platform untuk kerajaan berinteraksi dengan wakil nelayan, pengusaha dan agensi berkaitan bagi merungkai isu dan permasalahan membelenggu nelayan serta merangka solusi praktikal menerusi penggubalan dasar yang selari dengan realiti lapangan.
Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menyampaikan bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan sebanyak RM300 seorang setiap bulan bagi pemilik vesel Zon A serta pekerja Zon A, B, C, dan C2 yang berkelayakan, melibatkan 7,503 nelayan di Zon Pantai Barat dengan nilai bantuan berjumlah RM27 juta.
Selain itu, beliau turut menyerahkan Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan kepada 66 nelayan Zon Pantai Barat dengan nilai bantuan RM720,000 serta bantuan Rumah Nelayan Laut B40 yang bertujuan meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial