KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang diterimanya hari ini sebagai suntikan semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Beliau yang menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan mengurniakan darjah kebesaran itu sempena Hari Wilayah Persekutuan, berkata penganugerahan tersebut turut memberi dorongan kepadanya untuk meningkatkan produktiviti Kementerian Komunikasi.
“Saya bersyukur dan menjunjung kasih atas perkenan Tuanku mengurniakan darjah kebesaran ini. Insya-Allah, ia akan memberikan lebih semangat kepada saya dan pasukan untuk terus berkhidmat serta berusaha meningkatkan produktivit kementerian,” katanya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2025 yang berlangsung di Istana Negara, di sini hari ini.
Terdahulu, Fahmi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa merupakan antara 32 individu yang dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial