AM

Agrobank Bawa Teknologi Bioflok, Lahir Generasi Akuakultur

08/03/2025 10:44 AM

Oleh Mohd Noor Iqram Rosli

KOTA BHARU, 8 Mac (Bernama) -- Agrobank, peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan perantaraan nilai di negara ini, terus memperkasakan penggunaan teknologi bioflok dalam sektor akuakultur dengan penglibatan pelajar Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Menerusi program 'Aquaculture Aspire Agrobank' yang diperkenalkan tahun lepas, sebanyak 10 sekolah di Semenanjung Malaysia menerima sumbangan set teknologi bioflok dengan anggaran kos antara RM14,000 hingga RM15,000, bergantung kepada keperluan tambahan seperti sistem teknologi Internet Kebendaan (IoT) Sistem Pemantauan Tekanan Udara.

Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup, Pontian (Johor); SMK Sri Perpatih, Gemas (Negeri Sembilan); SMK Nyalas, Jasin (Melaka); SMK Jalan Kebun, Shah Alam (Selangor); Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan (Pahang); SMK Meranti, Pasir Mas (Kelantan); SMK Renek, Jerteh (Terengganu); Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok (Kedah); SMK Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan (Perak); dan SMK Syed Ahmad, Kangar (Perlis).

Pengetua SMK Meranti Mohammad Razuki Derahman berkata program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar PPKI untuk menimba ilmu, malah memberikan pengalaman berharga dalam menguruskan ekosistem akuakultur.

"Projek ini sangat bermanfaat kerana pelajar dapat terlibat secara langsung dalam penyelenggaraan sistem akuakultur, termasuk memberi makanan kepada ikan, memantau kualiti air, kadar oksigen, suhu, serta menjaga persekitaran yang sesuai untuk pembiakan dan pertumbuhan organisma akuatik.

"Selain itu, teknologi ini juga dapat mengurangkan penggunaan air dalam sistem ternakan serta meningkatkan kualiti air bagi pembiakan ikan tilapia," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya pelajar berasa teruja kerana berpeluang meneroka ilmu baharu dalam bidang akuakultur, termasuk memberi makanan kepada ikan tilapia sebanyak dua kali sehari serta memantau kualiti air dalam kolam ternakan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata program ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Agrobank untuk mendidik serta menyemai kemahiran teknologi bioflok dalam kalangan pelajar selain membantu menjana pendapatan sekolah melalui penjualan hasil ikan.

"Untuk jangka panjang, Agrobank menyasarkan 10 lagi sekolah akan menerima teknologi bioflok bagi penternakan ikan tilapia pada tahun ini.

"Melalui program ini, kami berhasrat mewujudkan suasana pembelajaran yang menggabungkan teori dan amali di luar bilik darjah sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka potensi kerjaya dalam bidang akuakultur," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setiap sekolah terpilih akan menerima sebuah kolam berkeluasan 5.49 meter serta 1,500 ekor anak ikan tilapia bagi mendedahkan pelajar kepada teknologi moden dalam penternakan ikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan