AM

Wajibkan Pemeriksaan Kesihatan Sebelum Daki Gunung Kinabalu

09/03/2025 12:42 PM

 

Oleh Khatijah Jistoh

KOTA KINABALU, 9 Mac (Bernama) -- Mewajibkan pemeriksaan kesihatan sebelum mendaki Gunung Kinabalu antara langkah terbaik dalam memastikan keselamatan setiap pendaki, terutamanya dalam kalangan warga emas.

Penasihat Budaya Kinabalu Geopark Dr Paul Porodong berkata insiden kematian yang berlaku di Gunung Kinabalu tidak wajar dikaitkan dengan usia pendaki warga emas sebaliknya ia boleh terjadi atas pelbagai faktor, antaranya tahap kesihatan pendaki sendiri tanpa mengira umur.

"Ini mengenai satu kematian atau insiden yang berlaku di sana itu (Gunung Kinabalu), biasanya disebabkan kelalaian daripada pendaki sendiri, sama ada tidak mengikut arahan daripada guide, atau mereka ada penyakit yang mereka tidak ketahui kerana tiada pemeriksaan kesihatan.

"Kurang persediaan daripada pendaki, mereka telampau ambil ringan akan tahap kesukaran mendaki atau perkara yang mungkin boleh berlaku ketika berada atas gunung, misalnya akut gunung atau altitude mountain sickness (AMS), ini semua tiada kaitan dengan usia," katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, dilaporkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah mempertimbangkan peraturan had umur mendaki Gunung Kinabalu berketinggian 4,095.2 meter susulan kematian dua warga emas di gunung itu awal tahun ini.

Paul berkata jika cadangan itu dilaksana ia bakal memberi implikasi psikologi kepada umum bukan hanya kepada rakyat Malaysia sahaja tetapi juga masyarakat antabangsa, dengan menganggap warga emas itu sebagai tidak cergas untuk melakukan aktiviti lasak.

"Pengalaman saya di Jepun, mendaki gunung, trekking hobi warga emas, begitu juga di Switzerland mendaki ini satu hobi warga emas di luar negara, kita akan bagi gambaran yang kurang sesuai ketika negara menuju ke arah negara maju tetapi kita masih berpandangan tradisional bahawa 'orang tua' baik duduk di rumah sahaja," katanya.

Paul turut menyarankan agar pendaki yang berhasrat untuk mendaki Gunung Kinabalu wajib mendapatkan sijil kesihatan, termasuk pengesahan maklumat persediaan bagi mendaki gunung itu.

Bagi pendaki Ardyhansah Amat, 40, dari Tawau, langkah yang lebih baik adalah dengan mewajibkan pemeriksaan kesihatan, terutama warga emas sebelum melakukan pendakian dan pemeriksaan perlu dibuat di klinik kesihatan di Sabah, termasuk mendapatkan pengesahan daripada doktor bahawa mereka layak untuk mendaki.

"Di negara luar, mendaki gunung itu memang menjadi aktiviti bagi mereka yang berumur 70 tahun, dan kalau di Sabah kita letak had umur mendaki umpama kita downgrade tahap pelancongan Gunung Kinabalu itu sendiri.

“Tarikan pelancongan terhadap gunung ini kerana level ekstrim serta cabaran menuju ke puncak itu, ini yang pendaki seluruh dunia cari, orang naik gunung bukan semata-mata pemandangan tetapi kepuasan mencabar diri, jadi tidak logik ada had umur," katanya

Beliau yang lebih lima kali menawan Gunung Kinabalu berkata seorang pendaki perlu mengetahui tahap kesihatan mental dan fizikal dan tidak mengabaikan simptom kecil kesihatan, misalnya AMS kerana kesihatan diri ketika berada di altitut tinggi tidak sama ketika berada di bawah atau di laut.

"Tahun 2015 kali pertama saya daki Gunung Kinabalu, waktu itu saya hampir tidak dapat naik ke puncak kerana hari pertama saya sampai di Panalaban, saya alami tanda AMS, antaranya tidak ada selera makan, tetapi saya paksa diri telan nasi, sup kosong sahaja dan kemudian makan ubat, mujur saya tidak muntah, dan hari kedua saya dapat menawan puncak gunung,” katanya.

Beliau berkata pendaki perlu jujur serta dan melaporkan kepada pengiring atau malim gunung sekiranya mengalami gejala AMS seperti tidak mahu makan, pening atau muntah, dan pendaki tidak akan dibenarkan meneruskan perjalanan ke puncak kerana penyakit akut gunung ini turut boleh menyebabkan kematian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Ridwan Mohd Taib pula berpandangan, ramai yang berkeinginan menawan puncak Gunung Kinabalu maka selain ujian kesihatan, mengisytihar pengalaman mendaki gunung lain juga antara langkah yang baik dalam memastikan keselamatan pendaki.

"Selain itu, saya berpendapat pendaki berumur lebih 50 tahun perlu diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan mendaki Gunung Kinabalu.

"Pengawasan oleh malim gunung yang berpengalaman juga perlu untuk pendaki dalam kategori umur yang lebih berisiko," katanya.

Seorang pengusaha pelancongan Mohd Azlan Saleh Abd Salam berkata cadangan penetapan had umur untuk mendaki Gunung Kinabalu mempunyai niat memastikan keselamatan pendaki gunung namun pelbagai faktor perlu diambil kira serta dikaji.

"Isu keselamatan yang perlu diutamakan dan dititikberatkan, ini perlu ada kajian terperinci lagi daripada kerajaan sekali gus melihat kepada kesan yang akan menjejaskan ekonomi sekitar," katanya.

Beliau berkata pelbagai penyediaan kemudahan keselamatan seperti membina pondok kecemasan di sekitar kawasan pendakian yang dilengkapi ubat-ubatan dan kelengkapan keselamatan, termasuk alat komunikasi juga perlu dipertimbangkan.

"Malim gunung atau pengiring perlu tahu perkara asas prosedur resusitasi kardiopulmonari  (CPR), termasuk perubatan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan