Hanya dengan satu mesej ringkas di Instagram, nasib Najwa (nama samaran) yang telah hampir berputus asa untuk mendapatkan bantuan komputer riba, berubah sekelip mata.
Gadis ini yang sedang menuntut di German-Malaysian Institute telah berulang kali memohon bantuan, namun kerenah birokrasi termasuk keperluan dokumen sokongan, membuatkan usahanya sia-sia sedangkan peranti itu amat diperlukan dalam pengajian.
“Menerusi mesej ringkas saya di Instagram itu saya terima sebuah komputer riba percuma tanpa banyak soal dan sebarang syarat,” kongsinya penuh kesyukuran.
Najwa adalah antara ratusan individu daripada golongan tidak berkemampuan yang menerima bantuan komputer riba percuma daripada Abu Hurairah Resources, sebuah syarikat pembekal dan pembaikan komputer riba di sini.
Di belakang syarikat itu adalah seorang lelaki bernama Abu Hurairah Roslan yang pernah mengalami pelbagai cabaran getir sebelum berada di tempat sekarang.
Ironinya, lelaki ini dilatih dalam bidang masakan dan pernah bekerja sebagai cef di London, United Kingdom. Selepas beberapa tahun berkelana, beliau memutuskan untuk pulang ke tanah air pada 2010.
"Saya balik ke Malaysia dengan harapan boleh bekerja dalam industri makanan, tetapi peluang agak terhad. Saya cuba memohon pekerjaan di pelbagai tempat, tetapi kebanyakannya tiada jawapan. Jadi, saya buat keputusan untuk cari apa saja kerja yang ada di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
SEMBILAN TAHUN YANG JERIH
Tinggal di Rawang, Selangor, Abu Hurairah berulang-alik saban hari ke ibu negara menaiki bas, dan adakala komuter jika perlu, bagi mencari rezeki. Mujurlah beliau ada sedikit kemahiran membaiki komputer riba - minat yang dipupuk dengan belajar sendiri daripada video tutorial di YouTube.
“Saya tawarkan khidmat baiki komputer di mana-mana sahaja. Kadang-kadang saya dapat RM30 sehari, adakala dapat RM100. Seingat saya, paling tinggi saya pernah dapat ialah RM300,” imbas beliau.
pic-2
Mengakui ada ketikanya beliau hampir berputus asa, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan mulut lima orang anaknya serta isteri yang perlu disuap.
“Setiap kali saya rasa hilang harapan, saya akan ke masjid lebih awal sebelum masuk waktu solat… ini satu daripada cara saya menenangkan diri dan mengumpul kekuatan,” tambahnya.
Selama sembilan tahun beliau bergelut dengan ketidakpastian tentang masa depannya, dan ketika 2019 menghampiri penghujung, Abu Hurairah yang ketika itu berada di persimpangan, sama ada mahu meneruskan bidang pembaikan komputer yang diminatinya atau meneroka usaha niaga baharu, beliau menerima perkhabaran gembira.
“Bekas majikan saya, seorang warga Pakistan yang memiliki kedai komputer riba di Plaza Imbi, mahu pulang ke negara asal dan dia berhajat serahkan perniagaannya kepada saya.
"Dia berpesan, 'Saya mahu awak teruskan bisnes ini sebab saya nampak awak ada usaha dan keikhlasan dalam bekerja.' Itu satu amanah besar bagi saya," kenangnya.
Beberapa bulan selepas beliau mengambil alih perniagaan itu tanpa bayaran walau satu sen, COVID-19 melanda dunia dan secara tiba-tiba permintaan terhadap komputer riba serta servis pembaikan peranti berkenaan memuncak.
pic-3
"Dulu saya fikir orang Malaysia kurang minat dengan komputer, tapi apabila PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bermula, ramai mula sedar keperluan kompter riba untuk pembelajaran dan pekerjaan," katanya.
Sesi pembelajaran secara dalam talian serta bekerja dari rumah, membuka mata anak jati Pulau Pinang ini kepada kewujudan mereka yang tidak berkemampuan untuk memiliki komputer.
BANTUAN KOMUNITI MISI UTAMA
Menyedari keperluan mendesak itu, Abu Hurairah mengambil keputusan untuk membaiki 100 unit komputer riba lama dan terbiar di dalam stor kedai demi membantu mereka yang kurang berkemampuan. Peranti yang dibaik pulih itu diberikan secara percuma kepada pelajar dan individu yang benar-benar memerlukan.
Beliau juga menjenamakan semula perniagaannya dan menjadikan bantuan komuniti sebagai antara misi utama syarikat.
pic-4
Bagi Abu Hurairah, memberi komputer riba percuma bukan sekadar menyerahkan peranti, tetapi satu usaha mengubah masa depan mereka yang memerlukan. Justeru, setiap peranti dipastikan dapat dimanfaatkan oleh penerima tanpa sebarang masalah.
“Setiap komputer riba yang disumbangkan turut disertakan dengan jaminan hingga tiga tahun. Jika rosak, penerima boleh membawanya ke mana-mana kedai komputer dan syarikat akan tanggung kos pembaikan.
"Proses permohonan pun, kalau boleh saya akan mudahkan. Tidak perlu untuk saya lakukan pemeriksaan latar belakang seseorang dengan terlalu ketat. Jika mereka tipu pun itu urusan mereka dengan Tuhan,” katanya.
Menurutnya, beliau memanfaatkan sepenuhnya media sosial bagi menguar-uarkan inisiatif itu dan kebanyakan pemohon datang sendiri ke kedai atau menghubunginya di media sosial.
“Untuk dapatkan komputer riba percuma hanya perlu bawa salinan kad pengenalan atau kad pelajar (bagi penuntut). Saya juga akan rujuk badan bukan kerajaan lain, jika mereka kenal si pemohon,” katanya.
Namun, tidak semua menyambut baik usaha murni beliau, dengan ada yang menuduhnya meraih keuntungan peribadi daripada inisitiatif itu.
"Orang tidak nampak apa yang berlaku di belakang tabir. Ada hari saya terpaksa keluarkan duit daripada poket sendiri, kerja lebih masa dan lain-lain untuk pastikan peranti yang bakal diserahkan itu dapat berfungsi,” katanya, menambah tuduhan tersebut tidak meninggalkan kesan pada beliau.
"Pada mulanya, saya bimbang juga inisiatif ini akan menjejaskan kewangan syarikat, tapi saya yakin, bila kita membantu orang lain, Allah akan membantu kita. Alhamdulillah, kedai kami masih bertahan, malah berkembang," katanya.
Hari ini beliau bukan sahaja mempunyai perniagaan yang stabil, tetapi juga pasukan berdedikasi. Selain menggaji rakyat tempatan, beliau turut memberi peluang kepada pelajar bidang teknologi maklumat untuk mendapatkan pengalaman bekerja.
"Kami juga membuka peluang kepada pelajar yang berminat untuk mempelajari kemahiran membaiki komputer. Malah, bekas pekerja warga asing yang pernah berkhidmat dengan saya kini turut kembali membantu, memberikan tunjuk ajar secara percuma," katanya.
Sejak inisiatif bantuan laptop dilancarkan pada 2020, lebih RM200,000 telah dibelanjakan dengan lebih 500 penerima dari seluruh negara mendapat manfaat. Syarikatnya juga mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Menteri Besar Selangor Incorporated serta syarikat IT seperti ASUS.
MEMBERI HARAPAN, MENGUBAH KEHIDUPAN
Berkongsi kisah mereka yang pernah dibantu beliau, Abu Hurairah berkata kerap kali beliau menerima mesej daripada penerima yang berterima kasih sambil menangis atas sumbangan itu.
“Mereka menangis kerana itu kali pertama mereka ada komputer riba sendiri,” katanya.
Satu daripada kisah yang menyentuh hatinya ialah seorang pelajar universiti hampir tercicir kerana tidak mampu membeli komputer riba. Setelah menerima sumbangan, pelajar itu akhirnya berjaya menamatkan pengajian di luar negara dan kini bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat multinasional.
"Bila saya dengar kisah seperti ini, saya rasa usaha ini tidak sia-sia. Saya mungkin tidak kaya dengan wang ringgit, tapi kaya dengan keberkatan hidup hasil daripada membantu orang ramai yang memerlukan," katanya.
"Ini bukan sekadar bisnes, tetapi satu legasi amal jariah. Saya mahu syarikat ini dikenali bukan kerana keuntungan, tetapi kerana apa yang kami cuba berikan kepada masyarakat," tambah Abu Hurairah.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial