AM

Sunway Malls Lancar Kempen "eidisi Manis" Bersempena Aidilfitri

12/03/2025 10:15 AM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Sunway Malls melancarkan kempen "EIDisi Manis" sebagai menghargai hidangan kuih-muih tradisional Melayu bersempena sambutan Aidilfitri.

Acara itu diserikan dengan hiasan berwarna-warni yang menampilkan pelbagai jenis kuih-muih Melayu bagi memeriahkan lagi suasana perayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls HC Chan berkata sambutan tahun ini mencerminkan visi pusat membeli-belah itu untuk menghangatkan lagi suasana kemeriahan di samping mengimbau kenangan lalu.

“Kami berharap pengunjung mendapat inspirasi daripada kekayaan tradisi. Mari kita mengenang masa lalu, raikan masa kini dan melangkah ke masa depan dengan limpahan sinar kegembiraan dan kesejahteraan,” katanya pada pelancaran kempen "EIDisi Manis" di Sunway Putra Mall di sini hari ini.

Chan berkata suasana perayaan di pusat beli-belah bukan sekadar pameran budaya semata-mata malah menjadi platform inklusif untuk merapatkan jurang antara pelbagai lapisan masyarakat, khususnya menerusi warisan manisan tradisional.

Beliau berkata satu lagi aspek utama komitmen Sunway Malls terhadap keterangkuman ialah kerjasama dengan pelbagai pihak untuk mempromosikan budaya dan pelancongan.

"Kerjasama pelbagai pihak adalah penting dan berkesan kerana ia membolehkan kita memanfaatkan kekuatan untuk mencapai matlamat bersama dengan lebih berkesan," katanya.

Turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Azimah Aziz, Ketua Unit Pelancongan Kuala Lumpur di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Nur Natasya Ab Halim, dan Presiden Persatuan Pelancongan Kuala Lumpur Syed Azhar Syed Nadzir.

Dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Persatuan Pelancongan Kuala Lumpur, Sunway Malls berhasrat untuk memperkasakan budaya Malaysia, menonjolkan peranan pelancongan budaya dalam memacu pertumbuhan ekonomi sambil memelihara warisan.

Menerusi kerjasama dengan artis, jenama dan vendor tempatan pula kempen ini memperkukuh lagi sokongan terhadap perniagaan tempatan, menjadikannya penyumbang utama kepada pelancongan serta perdagangan.

“Hal ini amat penting ketika kita menuju ke Tahun Melawat Malaysia 2026. Selain persiapan asas, elemen penting lain adalah memulakan kerjasama sebagai langkah awal mencapai matlamat berkenaan. Lebih cepat kita bekerjasama, lebih harmoni dan tersusun usaha kita dalam menyambut kedatangan tetamu dari seluruh dunia,” kata Chan.

Sebagai tarikan tambahan, para pengunjung di Sunway Malls (kecuali Sunway Giza dan Sunway Citrine Hub) yang memenuhi syarat perbelanjaan berpeluang menyertai "Cabutan Bertuah EIDisi".

Menjelang ketibaan Syawal, Sunway Malls menjemput orang ramai bersama-sama memeriahkan acara itu yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk semua peringkat umur sebagai menghargai warisan dan meraikan kreativiti sempena musim perayaan, 

Maklumat lanjut mengenai aktiviti layari laman web www.sunwaymalls.com/happenings.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan