AM

KDN Tiada Hasrat Ikut Langkah AS Berhubung Dasar Hantar Pulang Pendatang Tanpa Izin

12/03/2025 01:06 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) buat masa ini tidak bercadang mengikut langkah Amerika Syarikat (AS) berhubung dasar menghantar pulang pendatang tanpa izin ke negara asal sebagai dasar baharu lebih keras bagi menyelesaikan isu lambakan warga asing dalam negara. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata ini kerana KDN sentiasa menambah baik prosedur kawalan dan penguatkuasaan peraturan imigresen untuk mengawal keberadaan pendatang tanpa izin.

“Antara usaha penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan kementerian ini bersama-sama agensi di bawahnya, termasuk kawalan sebelum kemasukan ke dalam negara dan penggunaan teknologi dalam kawalan pintu masuk negara.

“Selain itu, kita juga melaksanakan kawalan keberadaan pendatang tanpa izin dalam negara selain melaksanakan operasi penguatkuasaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Azahar Hassan yang ingin mengetahui adakah kementerian bercadang mengikut langkah AS dalam dasar menghantar pulang pendatang tanpa izin ke negara asal sebagai dasar baharu lebih keras bagi memastikan isu lambakan warga asing dalam negara dapat diselesaikan.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Azhar Ahmad yang ingin mengetahui jumlah pendatang tanpa izin ditahan tahun ini dan jumlah telah diusir keluar ke negara asal, Shamsul Anuar berkata bagi tempoh 1 Jan hingga 10 Mac tahun ini, Jabatan Imigresen sudah melaksanakan lebih 2,679 operasi penguatkuasaan melibatkan tangkapan 9,904 pendatang tanpa izin.

“Tangkapan ini melibatkan warga asing dari pelbagai negara dan 348 majikan atas pelbagai kesalahan imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen.

“Bagi tempoh setakat 9 Mac tahun ini, jumlah pengusiran terkumpul dari depoh imigresen adalah 9,199 orang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan