AM

TLDM Selamatkan Kapal Layar Meridian Of Sydney Di Perairan Pulau Perak

12/03/2025 10:36 PM

IPOH, 12 Mac (Bernama) -- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan sebuah kapal layar, Meridian of Sydney, yang mengalami masalah kerosakan jentera utama di perairan barat laut Pulau Perak hari ini.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut dalam kenyataan memaklumkan kapal terbabit dipercayai telah hanyut selama empat hari dengan seorang individu, iaitu Kepten Kelvin Holly yang merupakan warganegara Australia berada di atas kapal berkenaan.

Menurut kenyataan itu, Pusat Operasi Markas Wilayah Laut 3 menerima maklumat pada 11.30 pagi daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenai kegagalan komunikasi dengan kapal layar itu ketika dalam pelayaran dari Krabi, Thailand ke Pulau Langkawi. 

"Menyedari keperluan untuk bertindak pantas, TLDM segera menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan Kapal Diraja Mahamiru untuk menjalankan pencarian bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. 

"KD Mahamiru tiba di lokasi pada 1.15 tengah hari dan mendapati kapal layar berkenaan mengalami kerosakan pada jentera utama dan layar menyebabkan ia tidak dapat meneruskan pelayaran.

"TLDM terus bertindak pantas dengan memberikan bantuan awal berupa makanan dan minuman kepada Kepten Kelvin Holly sebelum melaksanakan operasi menunda kapal layar terbabit ke perairan Pulau Langkawi dan akan diserahkan kepada APMM untuk urusan selanjutnya," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan kecekapan dan tahap profesionalisme warga TLDM dalam operasi ini membuktikan tanggungjawab dan amanah yang digalas ialah fokus utama dalam memastikan keselamatan maritim serta berkeupayaan untuk bertindak pantas dalam sebarang keadaan kecemasan di perairan negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan