MELAKA, 27 Mei (Bernama) -- Memberi dan memanggil empat anak dengan gelaran yang baik seperti profesor dan jurutera sejak kecil ternyata membawa tuah kepada penerima Anugerah Ibu Inspirasi, Zulhijah Abu Zarin, 67, apabila kesemua anaknya itu berjaya dalam kehidupan.
Bagi Zulhijah gelaran yang baik itu bukan sekadar panggilan tetapi juga doa seorang ibu, selain pada masa sama berusaha membesarkan tiga anak lelaki dan seorang perempuan yang kini berusia 38 hingga 45 tahun dengan pendidikan yang sempurna hingga ke universiti.
Beliau berkata tiga anaknya kini merupakan pensyarah yang bergelar profesor di sebuah universiti tempatan dan swasta manakala seorang lagi menjadi jurutera di sebuah kilang Jepun di Melaka.
"Makcik sekolah setakat tingkatan tiga sahaja kerana keluarga susah ketika itu tetapi apabila ada anak, makcik ingin pastikan mereka mendapat pendidikan yang cukup dan pekerjaan yang baik kerana hanya dengan cara itu dapat mengubah kehidupan keluarga.
"Dari kecil, selain nama mereka makcik panggil anak-anak dengan gelaran profesor dan jurutera kerana memang ingin mereka berjaya pada masa hadapan," katanya yang pernah berkerja sebagai konduktor dan pemandu bas sekolah selama 16 tahun.
Zulhijah berkata kejayaan empat anaknya itu turut didorong oleh suami, Ridzuan Hamad, 74, yang telah menunjukkan contoh melalui kegigihannya bekerja bermula sebagai kerani hingga bersara sebagai Pengarah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Negeri Melaka hampir 20 tahun lepas.
Mengenai anugerah tokoh ibu yang diterima, beliau tidak menyangka mendapat pengiktirafan itu kerana tugas membesar dan memberi pendidikan kepada anak-anak merupakan amanah yang perlu digalas tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Begitu pun, beliau tetap bersyukur dan berharap dapat memberi inspirasi kepada ibu bapa lain untuk mendidik anak mereka dengan lebih baik sekali gus mengubah kehidupan mereka.
Zulhijah dianugerahkan tokoh Ibu Inspirasi 2025 Negeri Melaka oleh isteri Yang Dipertua Negeri Melaka Toh Puan Asmah Abdul Rahman sempena Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Melaka 2025 di sini semalam.
Tiga lagi penerima anugerah tokoh ibu ialah Amnah Ibrahim (Anugerah Ibu Cekal 2025), Faridah Musa (Anugerah Ibu Usahawan 2025) dan Fairuz Aziha Shamsudin (Anugerah Ibu Waja 2025).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial