KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengalu-alukan projek kerjasama antara Google dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) dalam memperkasakan pengetahuan wartawan tempatan berkaitan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam bidang kewartawanan.
Beliau berkata projek AI Literacy for Journalists mampu meningkatkan pemahaman wartawan mengenai penggunaan AI secara beretika dalam penulisan mereka memandangkan teknologi itu kini semakin meluas dalam pelbagai bidang termasuk kewartawanan.
"Projek ini satu daripada permintaan saya kepada pihak Google memandangkan kita banyak bercakap tentang AI pada hari ini, tetapi seperti yang kita lihat baru-baru ini bila AI digunakan kadang-kadang kita perlu faham apakah kebaikan dan juga kelemahan pada AI itu sendiri.
"Kita tidak boleh terbawa-bawa dan terlalu mudah menyerahkan tugas kewartawanan kepada AI, namun saya percaya kita boleh menggunakan AI sebagai pena dan buku untuk wartawan pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Projek Sigma di sini hari ini.
Beliau berharap usaha itu dapat membantu wartawan mengasah bakat, meningkatkan profesionalisme, serta mempersiapkan mereka menghadapi cabaran landskap media masa hadapan yang dipengaruhi teknologi canggih.
Berhubung Projek Sigma yang bertujuan meneliti pendekatan baharu dalam menyampaikan maklumat kepada Gen Z, Fahmi mencadangkan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) bekerjasama dengan Google bagi memperluas pelaksanaan projek itu kepada agensi dan organisasi lain.
Beliau berkata langkah itu penting memandangkan corak keperluan dan tingkah laku audiens, khususnya generasi muda kini semakin berubah dan menuntut pendekatan penyampaian maklumat yang berbeza.
"Walaupun fokus Projek Sigma adalah organisasi media, mana-mana jabatan atau agensi yang ada audiens juga perlu faham bahawa audiens mereka turut berubah. Maka, wajar kita pertimbang format-format yang lebih sesuai dengan keperluan audiens tersebut," katanya.
Fahmi berkata Projek Sigma yang berlangsung selama 10 minggu adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Google melibatkan organisasi media pelbagai bahasa iaitu REV Media (Media Prima), Astro Awani, Sin Chew Daily, Malaysiakini, FT Strategies, News Partnership APAC at Google dan News Partnership Southeast Asia at Google.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Google yang bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi atas kejayaan penganjuran program terbabit sekali gus menyatakan komitmen untuk meneliti modul-modul menerusi projek tersebut agar boleh digunakan oleh lebih banyak pihak pada masa hadapan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan agar keperluan generasi lain seperti Millennials, Gen X dan Baby Boomers tidak diketepikan memandangkan setiap kumpulan mempunyai keperluan dan tabiat media yang berbeza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial