AM

Bank Pembangunan Asia Akui Kekuatan Ekonomi M'sia, Komited Sokong Integrasi Serantau - PM

28/05/2025 12:09 AM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) memperakui asas kekuatan ekonomi Malaysia yang terus rancak mencipta peluang dan tidak hanya memanfaatkan rakyat negara ini malah buat rantau Asia Tenggara secara keseluruhan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu disampaikan oleh Presiden ADB Masato Kanda ketika mengadakan kunjungan ke atas Perdana Menteri di sela Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 hari ini.

Anwar berkata Masato turut menyatakan komitmen ADB untuk menyokong kepimpinan Malaysia memacu integrasi ekonomi rantau Asia Tenggara dengan menyediakan pembiayaan bagi projek merentasi sempadan seperti ASEAN Power Grid.

“Dalam konteks yang sama, saya menzahirkan penghargaan setingginya kepada komitmen ADB untuk memperhebat kerjasama dengan Malaysia, khususnya dalam bidang pembiayaan sektor swasta bagi pembangunan infrastruktur strategik, peralihan tenaga yang mencakup tenaga hijau dan boleh baharu serta usaha memperkukuh penyelidikan dan perkongsian pengetahuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Beliau berkata pertemuan itu ternyata penting buat negara ini terutama ke arah memperkukuh hubungan antara Malaysia dan ADB dalam semangat kerjasama serantau yang terangkum serta berwawasan.

“Malaysia beriltizam untuk terus menjadi rakan strategik ADB dalam menjelmakan masa depan yang lebih hijau, berdaya saing dan tahan demi kelangsungan rantau ini,” katanya sambil menambah Masato turut menzahirkan ucapan tahniah atas penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN kali ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan