AM

Malaysia, UAE Kekalkan Komitmen Perkukuh Hubungan Dua Hala

28/05/2025 07:58 AM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengulangi komitmen untuk mengukuhkan hubungan dua hala dalam perbincangan di luar Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC) ke-2 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Perkara itu disentuh dalam pertemuan antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Majlis Tertinggi UAE, dan Pemerintah Ras Al Khaimah Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi. 

Sementara itu, Kerajaan Ras Al Khaimah dalam kenyataan kepada Bernama memaklumkan bahawa pertemuan itu membincangkan hubungan persahabatan dan kerjasama lama terjalin antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia, serta meneroka peluang untuk memperluas kerjasama merentasi pelbagai sektor.

“Kedua-dua pemimpin memuji penyelarasan dan perkongsian kukuh antara UAE dan Malaysia di peringkat antarabangsa, serta menekankan kepentingan meneruskan dialog dan penglibatan bagi memajukan matlamat pembangunan dan kepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa Sheikh Saud memuji penganjuran cemerlang sidang kemuncak oleh Malaysia serta peranan negara ini dalam menggalakkan kerjasama lebih erat dan integrasi antara negara-negara GCC dan ASEAN.

Malaysia dan UAE menikmati hubungan dua hala yang kukuh sejak awal 1970-an, yang dicirikan oleh kerjasama penting dalam bidang diplomasi, perdagangan dan pelaburan.

Perbincangan mereka tertumpu kepada usaha meningkatkan kerjasama merentasi pelbagai sektor, termasuk isu perdagangan, pelaburan dan geopolitik yang menjadi perhatian bersama.

Malaysia dan UAE menikmati hubungan dua hala yang teguh sejak awal 1970-an, menerusi kerjasama penting dalam diplomasi, perdagangan dan pelaburan.

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 bertujuan meningkatkan daya tahan ekonomi dengan mengukuhkan kerjasama antara wilayah dan membentuk barisan bersatu menentang cabaran yang ditimbulkan oleh ketidaktentuan ekonomi global.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 Malaysia yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, dan ini merupakan kali kelima negara menjadi Pengerusi ASEAN, selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan