AM

Lembu "sado" Jadi Lubuk Rezeki Armizan Menjelang Aidiladha 

30/05/2025 04:44 PM

KOTA BHARU, 30 Mei (Bernama) -- Setiap kali menjelang Aidiladha, penternak lembu "sado" atau bersaiz besar di Kampung Pasir Hor, di sini Armizan Harun, 46, akan "diburu" oleh pembeli lembu kayangan berkenaan.

Armizan yang meneruskan legasi arwah bapanya Harun Yusof sebagai penternak lembu sejak 23 tahun lepas berkata setakat ini, sebanyak lima ekor lembu bersaiz "gergasi" itu telah dijual kepada pelanggan di Selangor untuk dikorbankan pada bulan depan.

Beliau berkata lima daripada 13 ekor lembu "sado" miliknya itu adalah daripada baka jenis Limousine, Charolis, Blonde, Belgium Blue dan Brahman yang dijual pada harga kira-kira RM17,000 hingga RM18,000 seekor dengan berat melebihi 800 kilogram (kg) seekor. 

"Hampir setiap tahun, pasti ada pelanggan yang menjadikan lembu 'sado' sebagai haiwan korban walaupun harganya bertaraf 'kayangan' sehingga mencecah puluhan ribu ringgit, namun ia akan memberi kepuasan kepada pembeli.

"Mempunyai daging yang lebih banyak serta rasa yang begitu lembut adalah antara keistimewaan lembu 'sado' berbanding lembu kampung biasa sekali gus membuatkan haiwan ini terus menjadi pilihan," katanya ketika ditemui pemberita di ladang lembu miliknya di Kampung Pasir Hor baru-baru ini.

Bercerita lanjut, bapa kepada enam anak itu berkata dia memilih untuk memfokuskan kepada perusahaan lembu "sado" terbabit memandangkan ternakan ini mempunyai nilai potensi yang lebih tinggi berbanding lembu baka tempatan.

"Pada awalnya saya hanya mempunyai kira-kira lima ekor lembu 'sado' sahaja yang dibeli daripada penduduk kampung dan ada antara lembu berkenaan dijadikan induk sebelum ia dibuntingkan untuk membiak menerusi proses permanian berhadas sekali gus memastikan bekalan lembu ini sentiasa ada.

"Induk lembu 'sado' ini akan dilakukan permanian berhadas dengan menggunakan benih daripada baka jenis Limousine, Charolis, Blonde, Belgium Blue dan Brahman, dan benih berkenaan dibeli daripada Jabatan Veterinar Kelantan. Proses ini kebiasaannya dilakukan oleh anak sulung saya Arfan Raqfin, 23, yang mempunyai kemahiran itu," katanya.

Armizan berkata untuk mengelakkan berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini termasuk penyebaran penyakit berjangkit seperti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), kesemua ternakannya akan disuntik sekali sebulan untuk memastikan haiwan itu kekal sihat dan bebas daripada sebarang penyakit.

"Malah, saya juga hanya akan menjual lembu kayangan ini kepada pembeli yang mempunyai kandang serta berdaftar di bawah Jabatan Veterinar untuk mengekang berlaku penularan penyakit HFMD terhadap ternakan yang lain," katanya.

Di samping mengusahakan lembu "sado", dia turut menternak lembu tempatan yang sudah sinonim dengan masyarakat setempat untuk dijadikan sebagai haiwan korban pada Aidiladha.

Katanya, setakat ini lebih 300 ekor lembu tempatan berharga RM3,500 hingga RM4,800 dengan berat anggaran 230 kg hingga 330 kg telah terjual di seluruh negara.

"Saya menjangkakan jualan lembu tempatan ini akan mencecah sekurang-kurangnya 500 ekor sebelum Aidiladha nanti. Kebiasaannya harga yang dijual sudah termasuk dengan kos penghantaran menggunakan lori.

"Saya juga berharap pemberian permit daripada Jabatan Veterinar kepada pengusaha lembu dapat dipermudah dan diberi kelonggaran sepanjang tempoh ini memandangkan umat Islam akan menjalani ibadah korban tidak lama lagi sekali gus membuatkan permintaan terhadap lembu semakin tinggi.

"Sebelum ini, proses untuk memperoleh permit penghantaran lembu kepada pelanggan hanya memerlukan masa dalam seminggu, namun bermula pada tahun lepas proses berkenaan mengambil masa sekurang-kurangnya 21 hari kerana ternakan perlu menjalani suntikan P1 dan suntikan P2 terlebih dahulu sebelum dihantar kepada pelanggan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan