FOKUS BERNAMA

Projek Udang Air Tawar UPM Sebagai Model Keusahawanan Dan Kelestarian Makanan

03/06/2025 09:41 AM

Buat masa ini mereka hanya mempunyai enam tangki kecil dengan setiap satu menempatkan kira-kira 35 ekor udang kara air tawar, namun di sebalik saiz projek itu ada agenda tersirat yang ingin dicapai, iaitu menghasilkan seramai mungkin usahawan akuakultur lestari.

Inisiatif yang dilaksanakan oleh sekumpulan mahasiwa Universiti Putra Malaysia (UPM) daripada Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG) ini juga bermatlamat memupuk kesedaran tentang kepentingan teknologi hijau dalam pertanian, seiring dengan hasrat UPM untuk muncul sebagai universiti hijau.

Boleh disifatkan sebagai masih di peringkat “benih” kerana baru dimulakan pada pertengahan Mei lalu, projek penternakan udang kara air tawar itu memberi peluang kepada peserta yang terdiri daripada ahli Majlis Perwakilan KTAG, mempraktikkan teori yang dipelajari di bilik kuliah selain mencipta pengalaman hidup sebagai bekal di alam pekerjaan kelak.

Menurut seorang peserta, Muhammad Alif Haikal Mahadi, 22, penternakan udang itu inisiatif terbaharu mereka di bawah Projek Tani Lestari (PTL)  yang turut merangkumi tanaman cili dan cendawan.

“Hasrat kami ialah untuk melihat lebih ramai lagi menyertai usaha kami ini. Bukan itu sahaja, kami juga mahu menyuntik perubahan positif dalam masyarakat setempat berhubung amalan pertanian lestari,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

 

SOKONGAN UNIVERSITI 

Mengulas lanjut, Muhammad Alif Haikal yang juga penuntut jurusan Sains Pembangunan Manusia, berkata sebelum mereka memulakan usaha tersebut, dia dan tujuh lagi ahli Majlis Perwakilan serta kakitangan pengurusan KTAG dihantar mengikuti kursus berkaitan penternakan udang kara air tawar di Sabah pada Januari lalu.

“Kami bertuah kerana ada sokongan padu universiti dan kolej di belakang kami. Sepanjang tiga hari berkursus di Eastern College, Kota Kinabalu, bermula 23 hingga 26 Jan, kami didedahkan kepada pelbagai aspek penternakan udang air tawar ini termasuk dari segi teknikal, pengurusan dan teknologi yang digunakan.

“Kini kami tahu, misalnya, amalan teknik bioflok dapat menjimatkan air dan makanan kerana nutrien di dalam tangki dikitar semula. Bahan buangan udang ditukar menjadi mikroorganisma yang seterusnya menjadi sumber makanan semula jadi, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada antibiotik dan bahan kimia,” kongsinya.

pic-2

Menurut anak muda itu lagi, sebaik pulang ke UPM, mereka mula melakukan persiapan untuk memulakan projek tersebut termasuk mendapatkan dana.

“Sebanyak RM7,000 disediakan oleh pihak kolej untuk membantu kami menyediakan keperluan seperti tangki, induk udang dan lain-lain. Dalam hal ini, kami amat berterima kasih kepada pihak KTAG dan universiti yang banyak membantu,” ujarnya.

Ditanya tentang cabaran, dia berkata dalam bidang akuakultur, cabaran terbesar ialah pengurusan air yang lestari.

“Untuk ternakan udang ini, kami perlu seimbangkan kualiti air agar udang dapat hidup sihat tanpa penyakit sambil, pada masa sama, memastikan penggunaan air yang minimum. Keadaan mencabar kerana lebihan makanan di dalam tangki menghasilkan ammonia yang akan mengganggu pH dan ini perlu dikawal. 

“Sekiranya kita gagal kawal kadar pH dan ammonia, maka kita perlu tukar air, sedangkan prinsip akuakultur yang lestari ialah menggunakan air pada kadar minimum,” katanya.

Tambahnya, turut menjadi cabaran ialah pengurusan masa kerana projek itu melibatkan 20 pelajar daripada pelbagai fakulti dengan komitmen akademik yang berbeza.

“Menyelaraskan jadual ahli yang berbeza komitmen bukan mudah, tapi ia memupuk kemahiran kepimpinan dan kerjasama dalam diri kami,” katanya.

 

MEMBUKA MATA 

Seorang lagi peserta Ummi Nadhrah Basri, 23, menyifatkan penglibatannya dalam projek itu sebagai membuka mata.

“Dalam projek sebegini, kami dilatih merancang strategi dan juga menguruskan risiko. Ilmu keusahawanan itu bukan sekadar membeli dan menjual, tapi ada strategi yang disandarkan pada data atau kami berisiko menghadapi kegagalan,” jelasnya.

pic-3

Bagi mempromosikan usaha mereka di bawah PTL, kedua-dua mahasiswa ini yang juga ahli Sekretariat Hijau dan Keterjaminan Makanan, menubuhkan Aishah Ghani Green Organisation (AGRO) yang memanfaatkan media sosial untuk menyebarkan ilmu serta mengajak lebih ramai penuntut UPM terlibat dalam projek mereka. 

“Mungkin, dalam jangka masa panjang, akan lahir usahawan pengeluar udang air tawar daripada kalangan kami memandangkan potensi pasaran yang sangat luas,” kata mereka, menambah projek itu juga membuktikan akuakultur tidak memerlukan tapak yang luas asalkan usaha dilaksana dengan pendekatan yang tepat dan sistematik.

“Tambahan pula, ternakan ini tidak mengambil masa terlalu lama untuk dituai, iaitu dalam tempoh tiga ke lima bulan sahaja, bermula daripada telur,” kata Muhammad Alif Haikal.

Tentang harga pasaran, katanya kebiasaannya harga borong dari ladang ialah sekitar RM60 ke RM80 sekilogram, bergantung pada saiz dan gred.

“Harga di pasaran akhir seperti restoran makanan laut pula boleh mencecah RM15 hingga RM25 bagi setiap 100 gram, jadi udang kara air tawar ini memang produk bernilai tinggi,” tambahnya. 

 

MEMPERKASA KEUSAHAWANAN PELAJAR

Sementara itu, menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UPM Prof Dr Arifin Abdu, projek tersebut merupakan satu inisiatif strategik untuk memperkasa kemahiran keusahawanan pelajar secara menyeluruh.

Untuk itu, katanya, setiap kolej kediaman dan unit di bawah HEPA digalakkan menjalankan sekurang-kurangnya satu projek pertanian bagi menyokong dasar nasional berkaitan keterjaminan makanan dan kelestarian pertanian yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

pic-4

“Melalui projek ini, pelajar didedahkan secara langsung kepada proses pembesaran, penjagaan dan pengurusan sistem penternakan udang yang mengandungi pelbagai cabaran teknikal dan operasi.

“Selain itu, mereka juga diberikan peluang merancang model perniagaan, mengurus kos operasi, dan merangka strategi pemasaran.

“Ini menjadikan projek sebagai platform pendidikan keusahawanan yang menyeluruh, dengan pelajar membangunkan kemahiran kepimpinan, kerjasama dan pemikiran kritis, iaitu elemen penting dalam dunia perniagaan sebenar,” katanya.

Tambahan pula, kata beliau, industri penternakan air tawar di Malaysia sedang berkembang pesat dengan potensi ekonomi yang besar.

“Projek kami bukan sahaja fokus pada pengeluaran udang, tetapi juga membuka peluang dalam penghasilan benih udang, makanan alternatif serta produk hiliran seperti udang beku dan makanan siap saji berasaskan udang. Peluang ini sangat relevan dengan permintaan pasaran domestik dan eksport, terutamanya apabila Malaysia berusaha memperkukuh sektor akuakultur sebagai penyumbang utama ekonomi pertanian,” tambahnya lagi.

Industri penternakan udang air tawar di Malaysia, walaupun mempunyai potensi besar, menghadapi pelbagai cabaran termasuk isu kualiti air, penyakit, dan pengurusan sumber yang lestari. Beliau melihat projek UPM itu boleh dijadikan platform pembelajaran penting demi membina kapasiti pelajar untuk menghadapi cabaran tersebut secara langsung dan inovatif.

 

PENDEDAHAN MENYELURUH, KELESTARIAN DAN KOLABORASI STRATEGIK

Sementara itu, Naib Canselor UPM Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Ahmad Sadullah berkata usaha yang dilaksanakan oleh pelajar tersebut berpotensi membantu UPM, selaku institusi yang menitikberatkan prinsip kelestarian alam sekitar, menjadi universiti hijau.

“Kami telah melaksanakan pemantauan berkala terhadap penggunaan sumber air, pengurusan sisa ternakan dan jejak karbon pada setiap projek yang dijalankan dalam kawasan kampus bagi memastikan amalan mesra alam diterapkan,” tegasnya.

UPM juga turut menggalakkan penggunaan teknologi hijau, seperti sistem kitar semula air dan makanan alternatif yang lestari, untuk mengurangkan kesan alam sekitar. Ini bukan sahaja memastikan projek mematuhi garis panduan pertanian lestari tetapi juga melatih pelajar menjadi ejen perubahan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, tambah beliau lagi.

Lebih jauh, UPM merancang untuk memperluas projek ke lebih banyak kolej kediaman selain terus memperkukuh kerjasama dengan industri akuakultur tempatan dan antarabangsa.

“Dengan penglibatan lebih ramai pelajar dan pihak industri, kami berharap dapat menjadikan projek ini sebagai pusat latihan dan model inovasi keusahawanan pertanian lestari. Pelan jangka panjang ini juga merangkumi penggunaan bahan kitar semula dan pendekatan kos efektif bagi menggalakkan kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar, seiring dengan cabaran yang sering dihadapi oleh usahawan mikro dan kecil di Malaysia.

“Industri akuakultur Malaysia kini semakin dinamik dengan permintaan domestik dan eksport yang meningkat, terutama bagi produk udang dan ikan air tawar. Projek seperti ini bukan sahaja membantu mempersiap tenaga kerja mahir, malah menyokong transformasi sektor akuakultur ke arah pertanian pintar dan lestari,” tambah beliau sebagai penutup.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan