AM

Kadar Penggunaan Pengangkutan Awam Di Malaysia Hanya 20 Peratus - Loke

05/06/2025 12:00 AM

PETALING JAYA, 4 Jun (Bernama) -- Kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia setakat ini hanya sekitar 20 peratus, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata angka itu masih di bawah sasaran 40 peratus seperti yang digariskan dalam Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030.

“Jadi cabaran kita ialah bagaimana memastikan dasar ini dapat dicapai mengikut apa yang dihasratkan,” katanya ketika ditemui selepas Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 6 di Menara Prasarana, di sini hari ini.

Forum itu membincangkan topik “Pengangkutan untuk Rakyat: Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam”, yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Loke, ahli panel lain ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Mohd Azharuddin Mat Sah serta Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Mengulas lanjut, Loke berkata pelaksanaan inisiatif Road to Rail sedang berjalan secara berfasa dan dijangka memberi impak besar kepada sektor logistik negara.

“Kita memang menggalakkan penggunaan rel. Sebab itu, inisiatif yang ingin kita fokuskan ialah Road to Rail untuk menggalakkan lebih banyak penggunaan rel bagi penghantaran kontena dan barangan.

“Apabila projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap kelak, ia akan meningkatkan penggunaan rel untuk penghantaran barangan dan kontena ke Pantai Timur, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan darat seperti lori,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan