AM

Malaysia Sampaikan Penghargaan Kepada Poland Yang Salur Bantuan Ke Gaza

10/06/2025 03:50 PM

PUTRAJAYA, 10 Jun (Bernama) -- Malaysia menyampaikan penghargaan ikhlas kepada Poland kerana menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, khususnya melalui sokongannya kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan penyaluran bantuan kecemasan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen Poland terhadap usaha kemanusiaan, termasuk penyaluran bekalan penting ke kawasan berkenaan, mencerminkan pendirian berprinsipnya terhadap krisis berterusan di Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki.

“Saya bagi pihak Malaysia merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sokongan terhadap UNRWA dan pendirian anda terhadap penyelesaian dua negara,” kata Anwar pada sidang media bersama Presiden Poland Andrzej Duda yang sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke sini, hari ini.

Perdana Menteri seterusnya menekankan keperluan mendesak untuk akses kemanusiaan yang berterusan serta penyelesaian aman terhadap konflik yang berlarutan, dan menyifatkan situasi di Gaza sebagai tanggungjawab moral global.

“Terdapat keperluan mendesak untuk menjamin keamanan dan memastikan bantuan kemanusiaan terus sampai ke Gaza dan wilayah yang diduduki,” kata Anwar.

Baru-baru ini media antarabangsa melaporkan bahawa Kedutaan Poland di Amman menyelaras penghantaran bantuan kemanusiaan dari Poland kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang merangkumi lebih enam tan ubat, susu tepung, barangan keperluan untuk kanak-kanak, bekalan kebersihan dan selimut, yang tiba di Jordan pada 23 April dengan pesawat tentera Poland.

Selain isu Gaza, kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan perkembangan global dan serantau yang lebih luas, termasuk pengalaman Malaysia dalam ASEAN, hubungan dengan China dan penglibatan negara dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata sidang kemuncak yang julung kali diadakan antara ASEAN, GCC dan China di ibu negara baru-baru ini menandakan lembaran baharu dalam kerjasama strategik.

Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN, selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Mengenai Ukraine, Perdana Menteri mengulangi advokasi kukuh Malaysia untuk penyelesaian aman terhadap konflik yang sedang berlaku, dengan mengambil kira akibatnya yang meluas.

Konflik yang berterusan ini bukan sahaja menjadi ancaman kepada Eropah, tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa dan kepentingan ekonomi kita,” katanya.

Duda yang sedang dalam lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia tiba pada waktu yang cukup signifikan, semasa Malaysia mempengerusikan ASEAN, dan Poland selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) pada separuh pertama 2025. 

Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata Duda dijadual melawat Rejimen Kedua Kor Armor Diraja di Kem Sunggala, Port Dickson dan menyampaikan syarahan umum di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya.

Lawatan Duda ini melambangkan hubungan erat dan mesra antara Malaysia dan Poland yang berteraskan kepada prinsip saling menghormati serta kerjasama erat sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1971.

Pada 2024, Poland adalah rakan perdagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 19.5 peratus kepada RM5.66 bilion berbanding 2023.

Eksport utama Malaysia ke Poland merangkumi produk elektrik dan elektronik, produk getah serta jentera manakala import utama dari Poland terdiri daripada jentera, peralatan dan alat ganti, produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan