AM

KPWKM Perluas Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak Di 300 Sekolah

22/06/2025 04:25 PM

KUCHING, 22 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperluas Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak ke 300 sekolah di seluruh Malaysia tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata program itu merupakan platform untuk setiap kanak-kanak di Malaysia menyuarakan hak mereka untuk membesar dalam suasana yang membina seperti di rumah, di sekolah dan di mana sahaja mereka berada.

"Kita mahu anak-anak membesar dalam persekitaran yang selamat, disayangi dan dihormati. 

"Mereka berhak dilindungi daripada segala bentuk penderaan fizikal, emosi, seksual, pengabaian, mahupun eksploitasi sebagaimana digariskan dalam Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Bahagian Samarahan 2025 di Dewan Serbaguna Student Pavilion Universiti Malaysia Sarawak, di sini hari ini.

Nancy berkata dalam dunia digital hari ini, risiko kepada kanak-kanak juga telah berubah, daripada penderaan secara fizikal kepada buli siber, eksploitasi dalam talian dan pengabaian emosi. 

"Justeru, saya ingin ingatkan kepada semua jika ada sesuatu yang mencurigakan, laporkan segera melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-2615999.

"Ingatlah, tuan-tuan dan puan-puan, anda semua ialah mata dan telinga masyarakat. Lebih awal kita bertindak, lebih cepat kita boleh menyelamatkan nyawa dan masa depan anak-anak ini," katanya.

Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dari Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 572 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak telah didaftarkan dan 45 daripadanya berlaku di Samarahan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan