SABAK BERNAM, 22 Jun (Bernama) -- Kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dalam isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang berpotensi mengganggu-gugat keharmonian dan perpaduan rakyat di negeri berkenaan.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri Datuk Rizam Ismail berkata sebagai sebuah negeri yang memiliki kepadatan penduduk dan kepelbagaian etnik, sebarang isu menyentuh sensitiviti kaum serta agama perlu ditangani dengan tegas dan bijaksana.
“Sudah pasti Selangor perlu menjadi contoh bukan sahaja di dalam negara kita, malah di seluruh dunia. Walaupun kita negara yang mempunyai kepelbagaian etnik tetapi kita mampu membina sebuah negara yang majmuk dengan perpaduan yang kukuh.
“Sebab itu kita banyak bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara menerusi pelbagai program kesedaran dan perpaduan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Santuni MADANI dan Misi Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah di Masjid As-Syukriah Parit 8 Gambut, Sungai Panjang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam, yang mendedahkan sebanyak 40,515 kandungan berpotensi menjadi berita palsu dikenal pasti dan dilaporkan oleh penyedia platform sejak 2023 hingga Mei lepas.
Sebanyak 11,819 daripada kandungan berita itu menyentuh isu 3R, dilaporkan untuk diturunkan dan daripada jumlah itu sebanyak 7,571 kandungan sudah dipadam.
Rizam berkata antara inisiatif yang giat dilaksanakan termasuk menggerakkan peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) khususnya di kawasan luar bandar dalam membentuk semangat cintakan negara dan perpaduan antara kaum.
Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini tiada aduan rasmi berhubung isu 3R diterima pihaknya, sebaliknya hanya aduan kecil berkaitan masalah masyarakat yang dapat diselesaikan di peringkat tempatan.
Terdahulu, Rizam berkata program turun padang anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) disifatkan mampu merapatkan jurang antara rakyat dan agensi kerajaan, khususnya dalam menyampaikan perkhidmatan secara terus kepada golongan sasar.
Beliau berkata program yang bermula semalam itu diisi dengan pelbagai aktiviti bermanfaat disesuaikan di peringkat usia antaranya pemeriksaan kesihatan, dakwah, sukaneka, pertandingan e-sukan, rewang, ziarah dan pameran agensi.
Sementara itu, Pengarah JAWI Hanifuddin Roslan berkata jabatan itu turut menyampaikan sumbangan wang tunai bernilai RM220 setiap seorang kepada 253 asnaf yang dipilih melalui Lembaga Zakat Selangor.
Beliau berkata cek cura sumbangan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM10,000 turut disampaikan kepada Masjid As-Syukriah; RM5,000 kepada lima buah surau yang bernaung di bawah kariah Masjid As-Syukriah manakala RM5,000 kepada Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain Integrasi Desa Permai Parit 8.
Selain itu, program berkenaan juga adalah tanggungjawab sosial korporat JAWI yang kali kedua dianjurkan di luar kawasan pentadbiran mereka tahun ini dan lebih banyak kawasan bakal disantuni pihaknya pada masa akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial