AM

Terengganu Akan Beri Kerjasama Laksana Industri CCUS

23/06/2025 03:12 PM

KUALA TERENGGANU, 23 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di negara ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri berkata sebagai negeri hab bagi industri baharu itu, kerajaan negeri akan memastikan CCUS bakal membawa keuntungan, khususnya kepada rakyat Terengganu.

“Setakat ini, kita masih dalam perbincangan dengan Petronas (sebagai pihak pengendali) dan kita di peringkat kerajaaan negeri (melalui) GLC (syarikat berkaitan kerajaan) sedang bergerak ke arah itu (pelaksanaan CCUS). 

“Apa yang kita mahu sekarang ialah keuntungan paling maksima untuk Terengganu, bukan sekadar tempat beroperasi tetapi biar ada keuntungan kepada kerajaan negeri dan rakyat Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan East Coast Energy (ECE) 2025 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Terdahulu, Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan berkenan merasmikan Persidangan ECE 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Pada Mac lepas, Rang Undang-Undang (RUU) Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 diluluskan di Parlimen sekali gus bakal memberi peluang kepada pengembangan pelaburan dan ekonomi negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan