AM

PM Bantu Peniaga Kecil Baiki Rumah Uzur

23/06/2025 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada seorang peniaga kecil, Mohd Zaki Che Ibrahim, 45, di Balok, Kuantan yang berdepan kesukaran membaiki rumah dan menyara keluarga dalam keadaan isterinya menghidap penyakit kronik.

Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi ketika menziarahi pasangan suami isteri berkenaan yang mempunyai seorang anak lelaki berumur 18 tahun menerusi program Ziarah MADANI. 

"Setiap pagi, Encik Mohd Zaki menyediakan juadah sarapan pagi di meja jualannya. Beliau berniaga kecil-kecilan demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

"Dalam keadaan kesihatan isterinya yang tidak menentu akibat menghidap penyakit SLE (Sistemik Lupus Eritematosus), mereka tetap cekal menghidupkan dapur sendiri dan memenuhi keperluan seorang anak," katanya dalam catatan di Facebook yang turut dikongsi Perdana Menteri hari ini. 

Menurut Ahmad Farhan, rumah yang didiami keluarga itu kini dalam keadaan uzur dengan bumbung bocor, lantai pecah dan dinding retak sekali gus menambah tekanan kepada kehidupan seharian mereka.

"Dalam semangat Ziarah MADANI, saya hadir mewakili Perdana Menteri menyampaikan sumbangan serta meneliti bentuk bantuan yang wajar disegerakan agar keluarga ini dapat kembali hidup dengan lebih aman dan selesa," katanya.

Beliau turut menyifatkan kisah keluarga itu sebagai satu perjuangan yang tidak ramai ketahui dan berharap bantuan berkenaan dapat membawa sedikit kelegaan dalam kehidupan mereka.

"Di sebalik gerai sarapan itu, ada sebuah kisah perjuangan yang tidak pernah diketahui ramai… dan di sebalik sumbangan ini, tersemat doa agar mereka tidak lagi berjuang sendirian," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan