BANGI, 23 Jun (Bernama) -- Kerajaan Pahang menyalurkan RM8 juta bagi pelaksanaan bantuan kewangan RM400 secara sekali bayar kepada mahasiswa di negeri berkenaan, yang sedang melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi di seluruh negara.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bantuan itu disalurkan hari ini melalui Inisiatif Makmur (IM) Pahang 2025 kepada Kluster Siswa, sekali gus memberi manfaat kepada 20,000 pelajar yang layak.
Beliau berkata bantuan IM Pahang adalah penambahbaikan kepada Bantuan Prihatin Pahang yang dilaksanakan sejak 2022.
“Kerajaan negeri amat memahami, cabaran utama mahasiswa kini bukan sahaja dalam aspek akademik tetapi juga berkaitan tekanan ekonomi.
“Untuk Kluster Siswa, bantuan ini telah masuk tahun keempat… secara keseluruhannya, lebih kurang RM26.055 juta diperuntukkan bagi menjayakan IM Pahang Kluster Siswa bermula 2022 hingga 2024, dan bagi tahun ini RM8 juta,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan bantuan itu di sini hari ini.
Wan Rosdy juga berkesempatan menyampaikan bantuan berkenaan secara peribadi kepada kira-kira 450 anak Pahang serta pelajar Pusat Permata@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Wan Rosdy berkata Kerajaan Pahang akan pertimbang untuk meningkatkan peruntukan dan nilai bantuan berkenaan, sekiranya kedudukan kewangan negeri terus mengukuh.
“Insya-Allah pada masa akan datang, kita akan tambah (peruntukan). Bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri... Kita sebagai kerajaan negeri yang prihatin dan cakna, tidak mahu ada sesiapa pun yang tercicir dalam arus pembangunan terutama mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial