KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bergantung kepada penyelarasan kemas serta kesiapsiagaan setiap kementerian dan agensi kerajaan.
Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setiap jentera pentadbiran perlu bergerak dengan semangat sederap dan seragam sebagai satu pasukan negara dalam merealisasikan dasar yang berpijak pada realiti serta memenuhi tuntutan masa depan.
"RMK13 dirangka hasil perbincangan berterusan antara kementerian, agensi pusat dan kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu," katanya yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri bagi meneliti kerangka dan inisiatif utama RMK13 hari ini.
Perdana Menteri berkata dokumen penting itu, yang akan membentuk hala tuju pembangunan negara untuk tempoh lima tahun, dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada hujung bulan depan.
Pada mesyuarat itu, Anwar turut memberi ruang kepada semua menteri dan pengurusan tertinggi kementerian untuk menyumbang idea serta cadangan dalam usaha mempertajam pelaksanaan RMK13.
"RMK13 adalah kesinambungan kepada pembaharuan yang telah digerakkan oleh Kerajaan MADANI sejak dua tahun lalu, berteraskan aspirasi Ekonomi MADANI untuk menyusun semula struktur ekonomi, mengangkat darjat, harkat dan martabat rakyat serta membina negara yang lebih adil, mampan dan berdaya tahan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial