AM

Mohd Shuhaily Dilantik Ketua Pengarah AKPS Berkuat Kuasa Esok - KSN

30/06/2025 05:47 PM

PUTRAJAYA, 30 Jun (Bernama) -- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Kementerian Dalam Negeri bagi tempoh dua tahun mulai 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata beliau yakin Mohd Shuhaily, 53, yang memiliki pengalaman luas dalam perkhidmatan polis selama 26 tahun mampu menerajui kepimpinan AKPS dengan lebih cemerlang.

“Ia berdasarkan kompetensi serta pengalaman luas Mohd Shuhaily dalam pelbagai unit di Polis Diraja Malaysia termasuk di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kepimpinan beliau juga diyakini dapat memperkukuh kawalan sempadan negara ke tahap tertinggi serta memperteguh budaya integriti dalam perkhidmatan berteraskan nilai-nilai MADANI,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Shuhaily berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Sarjana Sains Pengajian Strategik Universiti Teknologi Nanyang di Singapura.

Beliau pernah berkhidmat di Washington, Amerika Syarikat sebagai Pegawai Atase (Polis) dari 2010 hingga 2013 dan menyandang jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman pada 15 Ogos 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan