AM

CDO Pemimpin Strategik Percepat Pendigitalan Kerajaan

01/07/2025 10:53 AM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Peranan Ketua Pegawai Digital (CDO) dalam setiap kementerian dan agensi menjadi komponen strategik dalam mempercepat pelaksanaan pendigitalan sektor awam sejajar dengan hala tuju kerajaan ke arah perkhidmatan bersepadu, responsif dan berpaksikan rakyat.

Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara (JDN) Nik Zalbiha Nik Mat berkata peranan CDO juga tidak lagi dilihat sebagai hanya menjalankan tugasan teknikal semata-mata, sebaliknya memainkan peranan besar dalam menjajarkan teknologi digital dengan keperluan perkhidmatan awam dan dasar kerajaan.

“Sebenarnya peranan sebagai CDO ini, bukan berkaitan teknikal semata-mata tetapi lebih kepada memimpin strategi digital dan melihat risiko serta keperluan teknologi semasa dalam konteks penyampaian perkhidmatan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Persidangan Ketua Pegawai Digital Sektor Awam 2025 (CDO CONVEX 2025) anjuran JDN bertemakan ‘Pemimpin Digital Cerdas dan Tangkas Era Baharu' di sini semalam.

Beliau berkata transformasi digital menjadi nadi utama bagi melonjakkan keupayaan kerajaan untuk bertindak dengan lebih responsif, efisien dan relevan dalam mendepani cabaran serta memanfaatkan peluang dalam era ekonomi digital yang berkembang pesat.

Selaras dengan hala tuju itu, CDO sebagai pemimpin digital dilihat lebih signifikan dalam pemanfaatan teknologi digital yang menyumbang kepada transformasi organisasi secara menyeluruh, peningkatan kecekapan operasi, serta penciptaan nilai baharu dalam perkhidmatan dan produk agensi serta kementerian.

Nik Zalbiha berkata pelantikan CDO tidak melibatkan penambahan perjawatan baharu, sebaliknya pegawai kanan sedia ada seperti Ketua Setiausaha (KSU) atau Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) dipertanggungjawabkan untuk memegang peranan berkenaan.

“Kita bukan cipta jawatan baharu. Ia adalah peranan tambahan kepada pegawai sedia ada yang diberi mandat untuk memacu agenda digital kementerian atau agensi masing-masing,” katanya.

Ditanya cabaran utama dalam memastikan agenda CDO di semua kementerian dan agensi dapat bekerjasama secara bersepadu, beliau berkata pendekatan menyeluruh kerajaan ditekankan, iaitu ia penting untuk memastikan agenda pendigitalan negara dapat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa "silo".

“Antara cabaran utama adalah penyelarasan dasar, integrasi sistem maklumat yang berbeza, serta kesediaan organisasi dari segi budaya kerja dan kapasiti digital.

“Bagi mengatasi cabaran ini, JDN mengambil langkah proaktif melalui perkongsian ilmu, pemantapan tadbir urus digital, pemerkasaan kerjasama strategik serta pembangunan kompetensi CDO dan Pengurus ICT di setiap kementerian dan agensi,” katanya.

Mengenai CDO CONVEX 2025, beliau berkata persidangan yang diadakan secara dwitahunan itu  menjadi landasan penting untuk menyatukan pelbagai inisiatif digital daripada sektor kerajaan, swasta dan akademia.

“Persidangan itu menghimpunkan pemimpin digital sektor awam dan pakar industri untuk berkongsi amalan terbaik, inovasi serta solusi terkini dalam bidang teknologi dan pengurusan data.

“Melalui pembentangan kertas kerja dan diskusi panel, peserta memperoleh inspirasi dan pengetahuan praktikal untuk merancang hala tuju digital organisasi mereka. Hasilnya, kita berharap penyampaian perkhidmatan kerajaan akan menjadi lebih mesra rakyat, pantas, selamat dan memberi nilai tambah kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam ucapan perasmiannya turut menyentuh tanggungjawab CDO yang menggalas amanah besar dan memainkan peranan penting sebagai pemacu utama perubahan, dengan memastikan teknologi dimanfaatkan secara optimum dan beretika demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.

Beliau berkata CDO yang berwawasan dan strategik amat diperlukan bagi menerajui transformasi digital sektor awam ke arah perkhidmatan lebih efisien, responsif serta dipacu oleh data dan teknologi.

“Hal ini kerana gelombang Revolusi Industri Keempat (4IR) yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI), data raya, Internet Benda (IoT) dan automasi telah mengubah landskap kehidupan, dunia pekerjaan serta penyampaian perkhidmatan secara drastik.

“Perubahan ini menuntut sektor awam supaya lebih tangkas, inovatif dan berdaya saing dalam memenuhi jangkaan rakyat yang kian meningkat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan