AM

RM200,000 Diluluskan Untuk Projek Tebatan Banjir Di Kg Melayu Bukit Batu - Teo

01/07/2025 11:12 AM

KULAI, 1 Julai (Bernama) -- Sebanyak RM200,000 diluluskan bagi melaksanakan projek tebatan banjir di kawasan berisiko tinggi di Kampung Melayu Bukit Batu, di sini menerusi Peruntukan Mesra Rakyat Parlimen Kulai.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata projek itu dilaksanakan susulan kejadian banjir yang berlaku sebanyak empat kali pada awal tahun ini, menyebabkan penduduk kampung mengalami kerosakan rumah, kehilangan harta benda dan berdepan trauma berpanjangan.

Beliau berkata projek berkenaan menyasarkan dua matlamat utama, iaitu mengurangkan risiko banjir serta meningkatkan kecekapan sistem saliran di kawasan terbabit bagi memastikan kejadian banjir tidak berulang.

“Kerja-kerja sedang giat dilaksanakan oleh pihak kontraktor pelaksana. Terima kasih kepada agensi teknikal dan komuniti setempat yang sentiasa memberikan kerjasama. Saya komited untuk memastikan kesejahteraan warga Kulai terus terbela,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Kampung Melayu Bukit Batu adalah antara kawasan berisiko tinggi banjir di daerah Kulai berikutan sistem saliran yang tidak lagi mampu menampung aliran deras air hujan. 

Sepanjang awal tahun ini, Kampung Melayu Bukit Batu dilanda banjir sebanyak empat kali, mengakibatkan lebih 50 rumah dinaiki air hingga paras lutut serta menyebabkan kerosakan harta benda dan mencetuskan trauma dalam kalangan penduduk.

Susulan kejadian itu, wakil penduduk bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) pada 14 April lepas, telah mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa tempatan dan Ahli Parlimen Kulai, meminta penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu banjir yang berulang saban tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan