JENAYAH & MAHKAMAH

JKDM Perak Rampas Barangan Termasuk Dadah Bernilai Lebih RM10 Juta

01/07/2025 01:43 PM

IPOH, 1 Julai (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah serta pelbagai barangan lain di empat lokasi berasingan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM10.9 juta.

Pengarah Kastam Perak Mohd Nadzri Ariffin berkata pada 5 Jun lepas, pihaknya menemukan lapan bungkusan plastik mengandungi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 9.8 kilogram di sebuah perkhidmatan kurier di Petaling Jaya, Selangor pada 2.45 petang.

"Penyeludupan dadah bernilai RM966,084 yang disembunyikan di dalam kotak tilam dan kolam angin untuk dieksport ke luar negara ialah modus operandi yang digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Nadzri berkata pihaknya masih menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Di lokasi seterusnya, katanya JKDM Perak merampas 55,320 unit peranti rokok elektronik mengandungi cecair pelbagai jenama dan 706 keping jubin marmar yang diseludup dianggarkan bernilai RM1.5 juta termasuk cukai di dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 4 Jun.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan ialah melakukan pengikraran tidak benar terhadap barang dagangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

Dalam kes berasingan, Mohd Nadzri berkata pihaknya menemukan sebuah kenderaan jenis Brabham model BT62 yang dibawa masuk ke negara ini tanpa permit import di dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pulau Indah, Selangor pada 27 Mei.

Beliau berkata kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM6.4 juta termasuk cukai dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Mohd Nadzri berkata pihaknya turut merampas karkas babi yang dibawa masuk dari negara jiran tanpa sebarang dokumen dan tidak dirujuk dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) selain tiada permit import dan sijil kesihatan dari negara terbabit.

"Karkas babi yang dirampas hasil pemeriksaan terhadap dua lori sejuk beku di Pengkalan Hulu, Gerik dianggarkan bernilai RM1.5 juta termasuk cukai," katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan