AM

MCMC Kerjasama Dengan Pulau Pinang, Perluas Penggunaan Aplikasi MCMC Nexus - Fahmi

01/07/2025 02:50 PM

GEORGE TOWN, 1 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan Kerajaan Pulau Pinang bagi memperluas penggunaan aplikasi MCMC NEXUS dalam kalangan penduduk negeri itu, sebagai usaha menambah baik tahap capaian internet.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata aplikasi yang dibangunkan oleh MCMC itu membolehkan suruhanjaya berkenaan mengambil tindakan lebih menyeluruh berdasarkan maklumat yang diterima terus daripada pengguna.

“Jadi, kita tidak perlu tunggu aduan terlebih dahulu, sebaliknya boleh bertindak lebih proaktif dengan mengarahkan syarikat telekomunikasi menyelesaikan masalah sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat menara Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 4G Enam Hala YES Tanjung Asam, sempena program 'Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’’di Tanjung Asam, Bayan Lepas, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Negeri Zairil Khir Johari, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas Datuk Azrul Mahathir Aziz yang juga Timbalan Yang Dipertua DUN Pulau Pinang.

Aplikasi MCMC NEXUS membolehkan pengguna mengukur dan memantau kualiti perkhidmatan internet secara masa nyata, selain menjalankan ujian kelajuan internet. Data yang dikumpulkan akan dihantar terus kepada MCMC dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi membolehkan penambahbaikan liputan serta tindakan segera terhadap aduan pengguna.

Mengulas mengenai program hari ini, Fahmi berkata menara MOCN di Tanjung Asam merupakan antara lima lokasi menara MOCN 4G Enam Hala yang dibangunkan bagi mempertingkatkan kesalinghubungan, khususnya di kawasan yang kurang liputan internet menerusi dasar '’Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet'.

Fahmi yang dalam lawatan kerja dua hari ke Pulau Pinang sejak semalam berkata, empat lagi lokasi menara MOCN perkongsian enam hala terletak di Ikon Tengkolok dan Kem Pengakap, Bukit Putus, Negeri Sembilan, Prima Gambang, Pahang, serta Plaza Tol Kota Seri Langat, Lebuhraya Pantai Barat (WCE), Banting, Selangor.

“Ini adalah hasil usaha pihak industri dengan kerjasama MCMC menerusi satu kerangka perkongsian rangkaian yang dibangunkan bagi membolehkan semua syarikat telekomunikasi berkongsi satu menara, sekali gus menyelesaikan isu liputan terutamanya di kawasan tidak berpenduduk tetapi merupakan laluan penting.

“Menara ini boleh menampung sehingga enam syarikat telco, dan pendekatan ini amat sesuai untuk kawasan laluan utama yang tiada penempatan berdekatan,” katanya.

Fahmi berkata pembangunan menara MOCN itu direalisasikan dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan permit, selain melibatkan penglibatan pasukan kejuruteraan memandangkan lokasi Tanjung Asam mencabar dari segi bentuk muka bumi, tanah dan permukaan kawasan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan