AM

Perluas Kementerian Kerja Raya, Wujudkan Sistem Pengangkutan Bersepadu Di Sabah - Pakar

01/07/2025 07:20 PM

LABUAN, 1 Julai (Bernama) -- Pakar pengangkutan dan logistik berpendapat peluasan skop Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Pengangkutan dan Kerja Raya merupakan langkah praktikal, menjimatkan kos serta berkesan dari segi tadbir urus dalam menangani isu pecahan sistem logistik di Sabah.

Bekas Presiden Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah (CILT) Malaysia dan Naib Presiden CILT Antarabangsa bagi Asia Tenggara Datuk Dr Ramli Amir berkata langkah berkenaan mampu memberikan penyelesaian lebih cepat dan bersepadu berbanding menubuhkan kementerian baharu.

“Langkah strategik ini akan mewujudkan badan pengangkutan berpusat yang sangat diperlukan di Sabah...penubuhan kementerian baharu bukan sahaja membabitkan kos, malah tidak wajar memandangkan Kementerian Kerja Raya sedia ada sudah mempunyai keupayaan institusi mencukupi,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Ramli berkata cabaran logistik Sabah disebabkan oleh ketidakselarasan institusi berbanding kekurangan infrastruktur, apabila pertindihan fungsi antara agensi menyebabkan kelemahan dalam penyelarasan dan ketidakcekapan ekonomi.

“Tiada pihak berkuasa tunggal mengurus sistem pengangkutan di Kota Kinabalu… tadbir urus berpecah, perkhidmatan tidak konsisten dan penggunaan kenderaan persendirian yang mendominasi akibat ketiadaan kawalan strategik,” katanya.

Beliau berkata syarikat pengangkutan jalan raya juga beroperasi merentasi bidang kuasa yang berpecah sekali gus mengukuhkan keperluan mewujudkan sebuah kementerian bersepadu bagi menyelaras tanggungjawab dan mempertingkatkan kemudahan perdagangan.

Ramli turut merujuk kepada rombakan Kabinet Persekutuan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember 2023 sebagai contoh pelaksanaan reformasi struktur bertujuan memperkukuh tadbir urus.

“Perlembagaan Sabah membenarkan perubahan seperti ini… kita juga pernah menyaksikan peluasan sama seperti penukaran nama Kementerian Pertanian turut merangkumi Industri Makanan dan Kementerian Perindustrian diperluaskan kepada Keusahawanan,” katanya.

Menurut Ramli, meskipun Majlis Logistik Sabah mempunyai peranan sendiri, namun ia tidak mempunyai mandat serta kepimpinan mencukupi untuk menyelesaikan isu struktur secara menyeluruh.

“Majlis berkenaan tidak mempunyai kuasa kewangan atau struktur pelaksanaan untuk merealisasikan sebarang penyelesaian… namun di bawah sebuah Kementerian Pengangkutan dan Kerja Raya, ia berpotensi menjadi badan pelaksana yang kukuh,” katanya sambil menambah cadangan ini selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 yang mengutamakan penyelarasan antara agensi dan sistem bersepadu.

“Peluasan kementerian di Sabah bukan sahaja akan menyokong objektif nasional, malah membolehkan penyelesaian lebih fokus di peringkat negeri selaras dengan keperluan geografi dan ekonomi Sabah,” katanya.

Ramli mencadangkan supaya mandat Kementerian Kerja Raya digabungkan dengan perancangan pengangkutan, sekali gus memberikan kuasa penuh kementerian ke atas agensi berasingan, menyelaras dengan badan persekutuan dan mengoptimumkan penggunaan sumber.

“Pengangkutan dan kerja raya melengkapi satu sama lain… kita memerlukan kepakaran kejuruteraan untuk membina dna menyelenggara jalan raya, pelabuhan serta infrastruktur… maka penyepaduan ini amat bertepatan.

“Tanpa pihak berkuasa berpusat, banyak dasar berisiko tidak dilaksanakan sepenuhnya… hanya kementerian yang disatukan mampu menggubal pelan induk menyeluruh dan merealisasikan potensi ekonomi Sabah,” katanya.

Beliau berkata peluasan fungsi Kementerian Kerja Raya merupakan langkah pembaharuan rasional dan disokong Perlembagaan, yang mampu mengisi kekosongan tadbir urus sedia ada serta membuka jalan ke arah pemodenan sistem pengangkutan.

“Ini bukan sekadar perubahan struktur… tetapi usaha untuk menghapuskan sekatan yang telah lama menghalang kemajuan. Dengan penubuhan Kementerian Pengangkutan dan Kerja Raya, Sabah akan memiliki pihak berkuasa tunggal untuk menerajui transformasi logistik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan