PUTRAJAYA, 2 Julai (Bernama) -- Tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata (BN) Tahun Taksiran 2024 secara e-Filing bagi pembayar cukai yang menjalankan perniagaan adalah pada 15 Julai ini, demikian menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dalam kenyataan hari ini LHDN memaklumkan bahawa kategori pembayar cukai terlibat adalah individu pemastautin yang menjalankan perniagaaan serta individu pemastautin (pekerja berpengetahuan, berkepakaran dan bukan warganegara memegang jawatan utama).
Selain itu kategori lain membabitkan individu bukan pemastautin, individu bukan pemastautin (pekerja berpengetahuan), pertubuhan, harta pusaka dan keluarga sekutu Hindu.
LHDN memaklumkan pengemukaan borang nyata (BN) melalui e-Filing boleh dibuat menerusi portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my atau melalui portal rasmi di https://www.hasil.gov.my > MyTax > Perkhidmatan ezHasil > e-Filing.
Rujukan kepada borang-borang yang berkaitan boleh diperoleh menerusi pautan di https://www.hasil.gov.my/borang/muat-turun-borang/.
LHDN menyeru agar pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab percukaian mereka dengan sempurna dan mematuhi tarikh akhir yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang penalti, kenaikan atau tindakan perundangan yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
“Pembayar cukai juga dinasihatkan untuk memastikan semua maklumat peribadi dan butiran akaun bank dikemas kini serta lengkap semasa pengemukaan BN.
“Langkah ini penting bagi memastikan proses bayaran balik cukai (sekiranya berkenaan) dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang halangan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial