AM

Gagal Pamer Tanda Larangan Merokok: 222 Premis Di Melaka Dikompaun Sejak Awal Tahun

02/07/2025 02:32 PM

MELAKA, 2 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Melaka mengeluarkan kompaun terhadap 222 premis pelbagai kategori kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok mengikut spesifikasi terkini bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Mei lepas.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata daripada jumlah itu, 116 premis ialah tempat kerja termasuk premis perniagaan, 102 premis tempat makan dan empat premis kedai dobi.

Beliau berkata ia adalah hasil pemeriksaan jabatan itu ke atas 5,858 premis larangan merokok dalam tempoh berkenaan. 

“Tanda amaran larangan merokok perlu diletak di tempat mudah dilihat seperti pintu masuk utama serta kawasan tumpuan pelanggan, dan mengandungi simbol lengkap termasuk larangan rokok elektronik. Semua pihak diingatkan agar memastikan tanda larangan itu mengikut spesifikasi ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ngwe berkata antara premis perlu mempamer tanda larangan itu ialah tempat kerja termasuk bangunan kerajaan dan swasta, premis makanan, institusi pendidikan, kemudahan kesihatan, kedai serbaneka, kenderaan awam dan premis seperti dobi layan diri. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan