SABAK BERNAM, 2 Julai (Bernama) -- MNRB Holdings Berhad (MNRB) meneruskan komitmennya menyokong kecemerlangan pelajar khususnya dalam kalangan B40, melalui Program Lestari Cemerlang MNRB.
Pada Majlis Penutup Program Lestari Cemerlang MNRB di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Aziz di sini hari ini, MNRB turut menganugerahkan biasiswa kepada lima pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, sekolah tersebut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re) Ahmad Noor Azhari Abdul Manaf berkata biasiswa itu yang ditawarkan menerusi Tabung Biasiswa MNRB menjadikan jumlah keseluruhan penerima biasiswa MNRB di bawah program itu, kini seramai 15 penerima.
“Daripada jumlah tersebut, seramai lapan orang kini sedang berkhidmat di pelbagai jabatan dalam Kumpulan MNRB. Biasiswa ini mencerminkan komitmen kami untuk menyokong aspirasi pelajar luar bandar dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Kami yakin dengan sedikit dorongan dan peluang yang diberikan, mereka mampu melakar kejayaan besar di masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu hari ini.
Ahmad Noor Azhari berkata Program Lestari Cemerlang MNRB dirangka untuk membantu sekolah-sekolah di luar bandar bagi mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang khususnya akademik sejajar dengan usaha berterusan MNRB untuk membantu para pelajar dengan menyediakan platform awal dalam bidang akademik dan kokurikulum.
“Inisiatif ini merangkumi pelbagai program yang menyokong kecemerlangan akademik serta pembangunan sahsiah pelajar secara menyeluruh. Usaha ini mencerminkan komitmen kami dalam membina masyarakat yang berilmu, progresif dan berdaya saing,” katanya.
Penerima biasiswa Muhammad Zain Hazrey Hamid @ Zulkifly, 18, berkata dia yang kehilangan ayahnya akibat diserang strok pada 2023, melahirkan rasa syukur terhadap bantuan itu yang mampu meringankan beban kewangan ditanggung ibunya.
Muhammad Zain yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dalam jurusan perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata biasiswa itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencapai cita-cita menjadi seorang akauntan bertauliah.
"Saya juga dimaklumkan biasiswa ini turut ditawarkan sekali bersama peluang pekerjaan di MNRB, InshaAllah saya tidak akan sia-siakan peluang ini dan syukur usaha saya selama ini terbukti berhasil,” katanya yang memperoleh 8A pada keputusan SPM 2024.
Berkongsi sentimen sama, Nor Aisyah Humairah Rosli, 18, berkata biasiswa yang diterima mampu membantunya untuk lebih fokus terhadap pelajaran, tanpa memikirkan isu kewangan mengenangkan ibu bapanya yang kian dimamah usia.
Sepanjang dua tahun pelaksanaan Program Lestari Cemerlang MNRB di SMK Ungku Aziz, pelbagai sumbangan dan penajaan telah disalurkan kepada pihak sekolah meliputi program akademik seperti kelas tuisyen atau tambahan, program motivasi dan program skor SPM.
MNRB turut menaja kemudahan pembelajaran menerusi penubuhan sebuah bilik khas yang dinamakan MNRB e-Learning Room yang dilengkapi dengan kemudahan seperti TV pintar dan papan pintar.
MNRB melalui anak syarikatnya Takaful IKHLAS juga turut menaja sebuah lagi bilik yang dinamakan IKHLAS e-Screening Room sebagai sebahagian daripada pusat sumber sekolah yang telah dinaik taraf.
Bilik itu kini dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran dan pengajaran, yang pada keseluruhannya menggunakan rangkaian Internet dan juga TV pintar.
Pada majlis sama, Malaysian Re, anak syarikat MNRB turut menyumbang melalui inisiatif zakat wakalah kerja-kerja penambahbaikan surau sekolah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial