PUTRAJAYA, 2 Julai (Bernama) -- Malaysia memulakan misi antarabangsa pertamanya selaku Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHA) dengan menyertai Forum Datuk Bandar ke-14 Sidang Kemuncak Bandar Dunia (WCS) 2025 yang berlangsung di Vienna, Austria, bermula hari ini hingga Jumaat.
Diketuai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming selaku Presiden UNHA, delegasi turut disertai Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif serta Penasihat Teknikal Hal Ehwal Pelbagai Hala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dr Neil Khor Jin Keong.
Nga dalam kenyataan memaklumkan penyertaan aktif Malaysia di peringkat global bukan sahaja mampu memartabatkan negara sebagai peneraju dalam pembangunan bandar mampan, malah menggalakkan pertukaran ilmu, pembelajaran dasar serta penerapan amalan terbaik.
“Selaku Presiden UNHA, saya berbesar hati dapat menyertai forum ini bersama datuk-datuk bandar yang menjadi peneraju inovasi bandar di peringkat akar umbi. Ini merupakan peluang penting untuk menyelaraskan komitmen global dengan pelaksanaan tindakan di peringkat tempatan.
“Saya berharap pandangan yang diperoleh serta jalinan kerjasama global yang dibentuk di Vienna akan turut menyumbang dan memberi manfaat kepada perancangan bandar dan strategi perumahan di Malaysia,” katanya.
Sepanjang WCS, Nga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan antarabangsa utama termasuk Ketua Pengarah Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) Gerd Müller, Datuk Bandar merangkap Gabenor Vienna Michael Ludwig serta Setiausaha Agung Metropolis Jordi Vaquer.
Perbincangan akan menumpukan kepada pembangunan bandar berasaskan perancangan, ketahanan iklim, keterangkuman sosial, serta pemerkasaan Matlamat Pembangunan Mampan ke-11 iaitu Bandar dan Komuniti Mampan di peringkat metropolitan dan nasional, selain Nga juga akan menyampaikan ucapan khas pada Sesi 1 Forum Datuk Bandar yang dijadual berlangsung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial