AM

Isu Penagihan Dadah Jenis ATS Dalam Perhatian Kabinet - Hannah Yeoh

03/07/2025 02:57 PM

KOTA BHARU, 3 Julai (Bernama) -- Isu penagihan dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) kini dalam perhatian dan perbincangan peringkat Kabinet, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata kerajaan kini sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengekang penjualan dadah berkenaan secara dalam talian.

"Trend sekarang menunjukkan pelajar sekolah rendah telah mula terlibat dengan ATS. Ada dalam kalangan mereka dapat akses melalui penjualan dalam talian, termasuk WhatsApp dan platform digital lain.

"Saya menggesa ibu bapa untuk memantau penggunaan telefon pintar dalam kalangan anak-anak. Kita tidak boleh beri telefon bimbit tanpa pemantauan," katanya kepada Bernama selepas melakukan lawatan kerja rasmi di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kota Bharu, di sini hari ini.

Hannah berkata jika dari awal ibu bapa menyedari perubahan tingkah laku anak, mereka diminta menghubungi PUSPEN dengan kadar segera.

Beliau berkata kementeriannya memberi jaminan akan terus membantu golongan muda yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah untuk mendapatkan rawatan secara sukarela di PUSPEN.

Hannah berkata berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi 2024, sebanyak 117,000 individu berumur antara 15 hingga 39 tahun dikenal pasti terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, dengan Kelantan antara negeri yang mencatat kadar penagihan tertinggi.

“Saya sempat berbual dengan beberapa klien di sini (PUSPEN Kota Bharu) dan kebanyakannya masih muda, ada yang baru berumur 17 atau 21 tahun, malah ada yang telah menggunakan dadah sejak usia sekolah rendah.

"Trend itu amat membimbangkan, namun saya kagum apabila mendengar sendiri rawatan di PUSPEN telah membantu klien untuk kembali pulih dan membina hidup baharu," katanya dan menambah mereka menerima rawatan dan sokongan yang baik di PUSPEN.

Sementara itu, Hannah turut bertemu dengan ibu bapa klien dan menggesa agar masyarakat lebih terbuka mendapatkan rawatan awal sebelum penagihan menjadi lebih kronik.

Beliau turut berkongsi data bahawa kadar kejayaan pemulihan dadah di PUSPEN kini mencecah 79 peratus, namun menegaskan bahawa cabaran sebenar ialah memastikan mereka tidak kembali kepada jaringan lama yang terlibat dengan penyalahgunaan bahan.

“Yang penting mereka tidak berhubung semula dengan kawan-kawan lama. Walaupun guna dadah lebih 10 tahun, jika ada kesedaran dan sokongan, mereka masih boleh pulih sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata kementeriannya juga bekerjasama rapat dengan AADK dalam program kesedaran melalui pelbagai platform, termasuk tayangan video kesedaran di pawagam-pawagam utama seperti TGV.

“Pusat pemulihan boleh diakses secara sukarela. Kita nak anak-anak muda tahu, mereka tak perlu lalui semua ini seorang diri. Bantuan ada, sokongan ada,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan