AM

PSB, DPDC Jalin Kerjasama Bangunkan Ladang Ternakan Ayam Di Perak

03/07/2025 04:09 PM

IPOH, 3 Julai (Bernama) -- Perbadanan Ekonomi Islam Perak Sdn Bhd (PSB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (DPDC) bagi membangunkan ladang ternakan ayam baka di negeri ini.

Pengerusi PSB Datuk Dr Ansary Ahmed berkata jalinan strategik menerusi PSB itu bagi memperkukuh agenda sekuriti makanan di bawah kerangka Pelan Perak Sejahtera 2030 sejajar dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah supaya peranan strategik negeri ini dalam sekuriti makanan negara terus diperkukuh.

Beliau berkata MoU berkenaan bakal menyaksikan pembangunan kompleks ternakan baka ayam seluas 16 hektar dengan tambahan 60 hektar lagi telah dikenal pasti bagi tujuan perluasan pada masa akan datang.

"Kerjasama strategik itu menyaksikan tanah milik PSB akan dibangunkan menjadi ladang ternakan ayam bersepadu yang merangkumi grand parent, parent stock dan ayam commercial broiler menggunakan sistem rumah tertutup moden dengan kepakaran teknikal DPDC. 

"Kerjasama projek itu juga bertujuan memastikan bekalan ayam yang stabil bagi pasaran tempatan termasuk eksport serta mengukuhkan rantaian bekalan ayam negara secara menyeluruh," katanya ketika berucap pada majlis itu hari ini.

PSB ialah syarikat milik penuh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) manakala DPDC merupakan anak syarikat kepada Dindings Tyson Sdn Bhd (DTSB), syarikat usaha sama antara Malayan Flour Mills Berhad (MFM) dengan Tyson International Holding Company.

Majlis menandatangani MoU telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PSB Amirul Hakim Abdullah dengan Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan MFM yang juga Pengerusi Eksekutif DTSB Teh Wee Chye, disaksikan oleh Ansary serta Pengarah Bebas MFM Datuk Seri Zainal Abidin Mahamad Zain.

Ansary berkata projek berkenaan juga dijangka membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat serta merangsang pertumbuhan ekonomi dalam sektor pertanian, logistik dan perkhidmatan berkaitan.

"Inisiatif ini mencerminkan komitmen PSB sebagai pencetus pembangunan ekonomi ummah dan sejajar dengan mandat diraja dalam membangunkan negeri Perak sebagai hab agromakanan negara. Kerjasama ini ialah langkah permulaan dan kami yakin lebih banyak aset tanah strategik boleh digerakkan untuk memperkukuh daya tahan makanan negara,” katanya. 

Sementara itu, Teh berkata kerjasama dengan PSB akan memperkukuh keupayaan pihaknya dalam sektor huluan penternakan ayam sekali gus memperluas jejak operasi DTSB di Perak.

“Kami melihat kerjasama ini sebagai pelaburan jangka panjang yang memberikan impak besar bukan sahaja dari segi perniagaan, tetapi juga terhadap sekuriti makanan negara dan pembangunan komuniti,” katanya.

"Kerjasama PSB dan DPDC ini dijangka dapat menyumbang kepada matlamat negara untuk mencapai Kadar Sara Diri (SSL) sebanyak 140 peratus dalam pengeluaran daging ayam menjelang 2030," katanya dan menambah ia juga mencerminkan komitmen berterusan terhadap pertumbuhan sektor agromakanan negara yang mampan dan berdaya saing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan