AM

Saintis Marin Wanita USM Terima Anugerah Berprestij Di Paris

04/07/2025 01:00 AM

GEORGE TOWN, 3 Julai (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) melakar sejarah baharu di peringkat antarabangsa apabila saintis marin wanita merangkap Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Prof Datuk Dr Aileen Tan Shau Hwai dianugerahkan Anton Bruun Medal dalam satu majlis di Paris, Perancis baru-baru ini.

USM dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia adalah pengiktirafan antarabangsa tertinggi dalam bidang sains lautan, yang mengiktiraf dedikasi Aileen terhadap penyelidikan samudera dan lautan, sekali gus mengangkat nama USM dan Malaysia di arena global.

“Anugerah berprestij itu telah disampaikan kepada Aileen bersempena Sesi ke-33 Perhimpunan Suruhanjaya Oseanografi Antara Kerajaan (IOC) di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Pengiktirafan itu bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan Aileen dalam bidang pengurusan dan pemuliharaan ekosistem marin, malah turut membuktikan keupayaan USM sebagai institusi pendidikan tinggi yang unggul dalam penyelidikan bertaraf dunia,” menurut kenyataan itu hari ini.

Bersempena dengan pengurniaan pingat itu, Aileen turut menyampaikan syarahan berprestij Anton Bruun Memorial Lecture bertajuk ‘Menjana Penyelesaian Lautan Secara Bersama: Memperkasa Komuniti Pesisir Pantai melalui Integrasi Sains dan Polisi’.

Menurut kenyataan itu, Aileen dalam syarahannya menekankan keperluan kritikal agar sains dimanfaatkan demi kesejahteraan manusia sejagat, bukan semata-mata untuk komuniti saintifik selain turut menggesa pelaksanaan pendekatan menyeluruh yang merangkumi seluruh lapisan masyarakat dalam tadbir urus lautan yang mampan.

Kenyataan itu memaklumkan Aileen turut menegaskan sains menghubungkan manusia dan manusia pula terhubung dengan alam semula jadi, sekali gus menyeru kerjasama rentas disiplin serta sektor bagi memastikan penyelesaian lautan yang inklusif dan mampu dilaksanakan, dengan rakyat sebagai teras bagi setiap usaha yang dilakukan.

“Sebagai peneraju dalam pemuliharaan marin berasaskan komuniti dan akuakultur lestari, Aileen turut berkongsi kisah-kisah kejayaan hasil kerjasama beliau bersama komuniti pesisir pantai di Malaysia. Sains telah dimanusiakan dan memberi impak nyata serta mencipta nilai yang diterjemahkan melalui peningkatan sumber pendapatan, pemerkasaan gender serta penjagaan ekosistem secara berterusan,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan daripada inisiatif penternakan tiram sehinggalah kepada keusahawanan belia, Aileen turut menegaskan kepentingan untuk mengutamakan rakyat, menyampaikan maklumat secara ringkas dan jelas serta komunikasi yang berimpak.

Pendekatan Aileen yang praktikal dan berakar dalam budaya tempatan dan pemindahan ilmu itu telah menarik perhatian global sebagai model tindakan lautan yang berkesan dan inklusif.

Pingat Anton Bruun Medal itu dianugerahkan kepada individu yang menyumbang kepada kemajuan penting dan signifikan dalam bidang kajian pepejal bumi, oseanografi fizikal dan kimia, meteorologi serta biologi marin bersempena Perhimpunan IOC yang diadakan setiap dua tahun sekali.

Anton Bruun Medal juga mengiktiraf sumbangan cemerlang individu dalam memajukan bidang sains marin dan penganugerahan itu bukan sahaja pengiktirafan dedikasi Aileen selama beberapa dekad dalam bidang sains marin dan pembangunan komuniti pesisir pantai, tetapi turut melambangkan peranan Malaysia yang semakin menyerlah dalam agenda lautan global di bawah Dekad Sains Lautan untuk Pembangunan Lestari anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan