KOTA BHARU, 3 Julai (Bernama) -- Tiada elemen jenayah berhubung siasatan dakwaan wujudnya amalan rasuah dan penyelewengan berhubung tender pembinaan MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata siasatan SPRM yang dijalankan ketika ini adalah berkaitan isu tatakelola.
“Jadi ada kesilapan pemahaman pihak media mengatakan kita menyiasat kes jenayah. Kita telah menjalankan siasatan awalnya dan tidak nampak isu jenayah tapi kita sekarang fokuskan isu tatakelola sekiranya ada untuk kita nasihatkan kepada KPKT untuk ditambah baik, tapi buat masa ini belum lagi selesai,” katanya.
Azam berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Pengarah SPRM Kelantan yang baharu Azmin Yusoff dan penyandang sebelum ini, Rosli Husain, di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya mengambil kira laporan daripada Pemuda MCA serta input yang diperoleh daripada KPKT sendiri dan kementerian itu memberikan kerjasama baik dalam siasatan tersebut.
Semalam, SPRM memulakan siasatan berhubung dakwaan wujudnya amalan rasuah dan penyelewengan berhubung tender pembinaan MyKiosk oleh KPKT.
Sementara itu, mengulas perkembangan siasatan kes melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Azam berkata SPRM akan memohon kepada mahkamah untuk melucutkan harta yang dirampas berjumlah RM170 juta.
“Sekiranya beliau (Ismail Sabri) mencabar di mahkamah maka perbicaraan akan diteruskan dan wang ini sekiranya berjaya dilucutkan hak maka ia akan menjadi hasil kepada kerajaan. Itu adalah yang diputuskan oleh DPP (Timbalan Pendakwa raya) sekarang ini,” katanya.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat Ismail Sabri kepada SPRM mengikut Seksyen 36 (1) Akta SPRM 2009.
Ahli Parlimen Bera itu juga berdepan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial