KANGAR, 4 Julai (Bernama) -- Perkhidmatan Hop-On Hop-Off Bus (HoHoBus) di Perlis menjadi tarikan terbaharu kepada pelancong yang diyakini dapat merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri itu sekali gus berupaya memperkukuh promosi Tahun Melawat Perlis yang dilanjutkan hingga tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata menerusi perkhidmatan bas tersebut kerajaan negeri dapat mempromosikan keunikan 10 lokasi menarik di negeri itu kepada rakyat tempatan mahupun pelancong luar .
“Usaha memperkenalkan bas pelancongan ini bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri yang sedang giat memperkukuh promosi Tahun Melawat Perlis serta menambah baik tarikan sedia ada seperti Choley Kuala Perlis,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran perkhidmatan bas itu di sini petang semalam.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan pelancaran berkenaan. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penerangan dan Digital Perlis Asrul Aimran Abd Jalil dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Affendi Rajini Kanth.
Sementara itu, Asrul Aimran berkata perkhidmatan bas itu menawarkan tambang promosi serendah RM3 dengan perjalanan merangkumi 10 lokasi menarik di sekitar Perlis dan pembelian tiket boleh dibuat di Terminal Perlis Sentral di sini.
“Ini satu inisiatif baharu yang akan beri pengalaman berbeza kepada pelawat khususnya yang ingin menikmati keindahan sawah padi dan suasana kampung di negeri ini. Kita harap media turut bantu uar-uarkan tarikan ini kepada umum,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial