AM

Peruntukan RM1 Juta Setiap 12 Kampung Angkat MADANI Di Bawah KDN

04/07/2025 02:57 PM

KOTA BELUD, 4 Julai (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai sekurang-kurangnya 12 Kampung Angkat MADANI yang diberikan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi setiap kampung untuk melaksanakan pelbagai projek.

Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata peruntukan itu diberikan secara terus kepada pemimpin setempat dan agensi berkenaan bagi melaksanakan projek fizikal serta bukan fizikal yang memberikan impak kepada kampung masing-masing.

"… kesan daripada peruntukan RM1 juta itu turun segera, dengan pantas, tiada kerenah birokrasi membolehkan, misalnya pemasangan lampu solar 40 unit (Kampung Angkat MADANI)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI KDN di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pangkalan Abai di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata di Kampung Angkat MADANI SK Pangkalan Abai itu juga diwujudkan satu pos kawalan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang turut dibantu penduduk kampung dalam kawalan keselamatan.

Beliau berkata kemudahan lain di Kampung Angkat MADANI SK Pangkalan Abai yang mempunyai kira-kira lebih 800 penduduk itu, termasuk pembinaan sistem perparitan sepanjang 150 meter bagi mengatasi masalah banjir.

Selain itu, KDN turut memasang paip sepanjang 350 meter, pembelian sebuah van jenazah dan menyalurkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SK Pangkalan Abai.

"Saya berpendapat bahawa kebaikan program ini adalah sesuai dengan tugas KDN," katanya sambil menambah program Kampung Angkat MADANI memberi impak secara langsung kepada rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan