ALOR SETAR, 4 Julai (Bernama) -- Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini meninjau projek pembinaan jambatan dari Pulau Tuba ke Pulau Dayang Bunting di Langkawi yang sedang dalam perancangan dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
Kementerian Kerja Raya dalam kenyataan memaklumkan projek Persekutuan itu penting kepada penduduk di pulau berkenaan, dan ia telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 3 untuk menggantikan dan menaik taraf jambatan satu lorong sedia ada yang sempit dan hanya boleh dilalui sebuah kenderaan empat roda pada satu masa.
“Jambatan ini terletak di antara Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting yang merentasi Selat Bagan Nyior dan menjadikannya laluan penting serta jaringan utama infrastruktur yang sempurna, selesa dan selamat. Ia bakal melancarkan mobiliti dan keterangkuman untuk kemudahan perhubungan dalam sebarang cuaca dan pembangunan sosioekonomi yang inklusif bagi meningkatkan taraf hidup penduduk.
“Projek ini akan melibatkan kerja-kerja pembinaan jambatan keseluruhannya sepanjang 1.04 kilometer (km) yang merangkumi jambatan sepanjang 0.38km dan jalan tuju sepanjang 0.66km dengan spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR) R1(dua lorong),” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, skop kerja projek berkenaan turut melibatkan kerja-kerja geoteknik, pemasangan perabot jalan, pemasangan lampu jalan, kerja-kerja alam sekitar dan pengambilan tanah.
“Sehingga Julai 2025, status pelaksanaan projek masih di peringkat perolehan dan Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada pertengahan 2026. Kementerian berharap agar semua pihak termasuk JKR, pasukan projek serta kontraktor yang bakal dilantik dapat memberikan komitmen dan kerjasama sepenuhnya melalui perbincangan yang berterusan agar projek ini dapat disiapkan seperti spesifikasi, masa dan kos yang telah ditetapkan.
“Ini sejajar dengan objektif Program MYJalan untuk menyediakan rangkaian jalan raya berkualiti yang lebih selesa, selamat dan mampan bagi seluruh rakyat Malaysia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, nilai ihsan dan kemampanan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial