KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sekali lagi diberi kepercayaan menggalas tugas sebagai penyelaras Pusat Media Antarabangsa (IMC) yang menghimpunkan lebih 1,000 petugas media pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, bermula Selasa ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata ini berdasarkan pengalaman agensi berita itu yang diberi peranan menyelaras IMC beberapa mesyuarat ASEAN sebelum ini termasuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, Mei lepas.
“Jadi pengalamannya masih lagi segar untuk kita, saya percaya pasukan Bernama yang merangkumi Jabatan Pengarang, MREM (Bahagian Perhubungan Media dan Pengurusan Acara) serta jabatan lain mampu melaksanakan tugas ini dengan jayanya berdasarkan pengalaman kita dari awal tahun di Langkawi (Kedah), di Desaru (Johor) dan KLCC.
“Alhamdulillah, kali ini kita diberi kepercayaan sekali lagi oleh Kementerian Luar. Saya juga percaya dedikasi dan komitmen para petugas Bernama untuk memastikan kelancaran penyelarasan di IMC ini,” katanya kepada Bernama selepas meninjau persiapan IMC di KLCC hari ini.
Beliau juga yakin peranan Bernama dalam melaksanakan tugas ini mampu membawa nama agensi berita itu ke peringkat lebih tinggi dan diperkenal dengan lebih meluas kepada rakan-rakan media luar negara.
“Insya-Allah, sebab penglibatan kita bukan sekadar sebagai penyelaras, kita juga membuat liputan dalam platform kita sendiri, wires, TV, radio, media digital dan foto mampu membawa serta mengangkat nama Bernama melalui kandungan-kandungan yang kita hasilkan,” katanya.
AMM ke-58 dijangka dihadiri kira-kira 1,500 delegasi yang diketuai Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, rakan dialog ASEAN, negara peserta Forum Serantau ASEAN dan rakan dialog sektoral ASEAN.
Selain itu, Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Ke-4 (CEAPAD IV) di sela-sela AMM ke-58 yang dipengerusikan bersama Jepun bagi membincangkan inisiatif serta usaha pembangunan semula Gaza dan Palestin.
Sementara itu, Ketua Sekretariat Induk Logistik ASEAN 2025 Raja Saifful Ridzuwan berkata pihaknya menjangkakan semua persediaan mencapai tahap 100 peratus menjelang tengah malam ini.
“Mulai hari ini, kita akan memeriksa semua sistem untuk memastikan ia berfungsi sepenuhnya sebelum Isnin,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pasukan logistik termasuk jawatankuasa induk dan Polis Diraja Malaysia telah mula bertugas di lokasi sejak Rabu lepas dan bersedia untuk operasi sepenuhnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial